Terkejut jumpa tengkorak, tulang manusia dalam kebun getah

Anggota polis menjalankan siasatan penemuan tengkorak manusia dalam kebun getah hari ini.
Anggota polis menjalankan siasatan penemuan tengkorak manusia dalam kebun getah hari ini.
A
A
A

BATU GAJAH - Seorang warga emas dikejutkan dengan penemuan tengkorak dan tulang manusia ketika sedang membersihkan kebun getah miliknya di Kampung Changkat Belingkor di sini petang tadi.

Lelaki berusia 70 tahun itu menemui tengkorak dan tulang bersepah bersama kain pelikat ketika sedang melakukan kerja menebas semak lalu menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya termasuk unit forensik bergegas ke lokasi yang terletak 50 meter dari Jalan Bemban di sini.

“Siasatan di tempat kejadian telah menjumpai tengkorak dan beberapa tulang dipercayai milik manusia berselerak dalam lingkungan 15 meter radius.

“Kita turut menemui baju, kain, tali pinggang disyaki milik mangsa dijumpai di lokasi kejadian. Dipercayai si mati adalah seorang lelaki berdasarkan pakaian yg dijumpai di tempat kejadian,” katanya.

Tengkorak dan tulang manusia ditemui berselerakan di Kampung Changkat Belingkor hari ini.
Tengkorak dan tulang manusia ditemui berselerakan di Kampung Changkat Belingkor hari ini.

Menurutnya, rangka tersebut dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan diperoleh menerusi laporan bedah siasat yang akan dijalankan esok,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di talian 05-3629222 (Pegawai Penyiasat Insp Lukman) bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!