Perhimpunan Agung, pemilihan Bersatu 20 Jun tahun depan

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad selepas sidang media setelah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini. Turut kelihatan, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (kanan). - Foto BERNAMA
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad selepas sidang media setelah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini. Turut kelihatan, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (kanan). - Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan Mesyuarat dan Perhimpunan Agung tahunan serentak dengan pemilihan parti pada 20 Jun tahun depan, kata Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, di peringkat cawangan pula, persidangan dan pemilihan akan diadakan mulai 25 Januari hingga 1 Mac manakala di peringkat bahagian pula pada 4 April depan.

Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata, Bersatu telah melantik Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar sebagai pengerusi jawatankuasa pemilihan.

"Mereka yang akan hadir (ke Perhimpunan Agung adalah) mereka yang membayar yuran. Kita akan kutip yuran untuk dua tahun kali ini pasal tahun sudah kita tidak kutip yuran.

"Setiap orang mesti membayar RM4 sahaja. Sangat murah," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi Bersatu di sini hari ini.

Dr Mahathir dalam pada itu berkata, parti akan mengambil tindakan displin terhadap ahli yang membuat kenyataan yang boleh merosakkan imej parti.

"Perlu ada disiplin dalam parti khususnya ahli-ahli dalam majlis presiden dan majlis tertinggi, iaitu mereka yang ada dalam parti dan pegang jawatan, mereka perlu berhati-hati bila membuat pengumuman.

"Kalau mereka membuat pengumuman yang merosakkan imej parti, maka tindakan akan diambil terhadap mereka dan ini diputuskan berkenaan dengan unjuran kononnya parti Pakatan Harapan akan kalah (pada pilihan raya akan datang)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir berkata, Bersatu juga tidak pernah melantik ketua strategik parti.

"Berkenaan orang yang mengaku dirinya ketua strategik, tidak pernah ada. Itu bukan lantikan secara rasmi oleh parti kita, itu gelaran yang diberi oleh diri sendirilah kot," katanya.

Beliau berkata ada pimpinan dalam parti yang sedang dalam pemerhatian dan tindakan akan diambil sekiranya mereka membuat kenyataan yang merosakkan parti.

"Ulasan (berkenaan parti) boleh tapi jangan kata parti ni nak kalah. Semua tu rosak imej parti," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!