'Agong titah sambung khidmat...'
KOTA BHARU - Seorang bekas perajurit tidak dapat melupakan peristiwa ketika belakang badannya ditepuk Yang di-Pertuan Agong ke-7, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Mu'azzam Shah yang menitahkan supaya dia menyambung perkhidmatan.
Mohd Noor Yaakob, 84, berkata, titah berkenaan menjadikan beliau sebagai satu-satunya tentera yang boleh bertugas sehingga umur 50 tahun berbanding 45 ketika itu.
“Saya masih ingat pada tarikh 18 Februari 1980 ketika saya mengikuti latihan Gonzales 2 di Dungun, Terengganu, tuanku bertanyakan mengenai perkhidmatan saya.
“Saya maklumkan usia saya sudah cukup 45 tahun dan akan balik ke kampung halaman. Masa itulah tuanku menepuk belakang dan menitahkan saya berkhidmat lima tahun lagi.
“Sampai hari ini saya ingat sebab dengan semangat itu jugalah saya terus mengerah keringat berjuang dan bergadai nyawa mempertahankan tanah air demi sebuah kemerdekaan,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Ambang Kemerdekaan 2019 dan Meraikan Anak Kelahiran Tanggal 31 Ogos 1957 di KPJ Perdana.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Perdana, Zawari Abdullah dan individu istimewa dari Besut, Terengganu, Mohd Sa’adi Yahya, 62, yang dilahirkan pada tarikh negara menyambut kemerdekaan.
Menurut bapa kepada 10 anak dari Kelantan itu, peristiwa tersebut semakin terbayang-bayang di fikiran terutama apabila tanah air bakal meraikan sambutan kemerdekaan yang ke-62, Sabtu ini.
Selain itu katanya, terdapat pelbagai pengalaman lagi sepanjang 31 tahun beliau berkhidmat sebagai perajurit yang tidak akan dapat dilupakan sepanjang hidupnya.
“Pada tanggal 31 Ogos 1957, saya berada bersama Tunku Abdul Rahman yang ketika itu mengisytiharkan kemerdekaan negara.
"Selain itu, di dalam tubuh badan saya juga masih tertanam dua peluru penabur komunis. Biarpun sudah 54 tahun berlalu, tetapi peluru itu dirasakan masih ‘hidup’ sekali gus membakar semangat saya sebagai pejuang kemerdekaan negara sehingga kini," katanya.
Mengimbas kejadian, bekas Pegawai Waren II itu berkata, beliau ketika itu ditugaskan untuk menyelamat sepasukan lima tentera Melayu yang diserang hendap Komunis di Serian, Sarawak ketika dalam perjalanan pulang ke kem berdekatan.
“Saya tidak sedar yang saya ditembak sehinggalah saya terjatuh. Rakan-rakan sepasukan mengoyakkan baju dan memberitahu saya cedera ditembak.
“Empat peluru terkena pada belakang badan dan dua lagi di siku sebelah kiri. Empat peluru tabur di belakang badan dicabut kawan-kawan di tempat kejadian, sementara dua peluru di siku masih tertanam sehingga ke hari ini. Buat apa saya nak buang. Biarlah terus berada dalam badan saya dan menjadi kenangan paling mahal untuk saya kepada tanah air,” katanya.
Mohd Noor berkata, beliau juga tidak melupakan peristiwa yang mengorbankan 14 rakan sepasukan ketika diserang hendap komunis di Lundu, Sarawak pada 1970.
“Saya ditugaskan ke lokasi pertempuran. Saya antara individu pertama yang sampai dan mengutip cebisan mayat kawan-kawan saya.
“Saya jugalah yang memasukkan semula mata salah seorang daripada mereka yang terkeluar. Nama dia Osman. Dia dengan Sahar sahaja yang hidup masa itu. Saya pun tidak tahu di mana mereka sekarang,” katanya.
Susulan itu, Mohd Noor mengingatkan agar seluruh rakyat Malaysia agar menghargai pengorbanan dilakukan barisan pejuang tanah air negara dengan tidak membiarkan kemerdekaan itu dirampas semula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!