Contohi sikap Rasulullah SAW santuni OKU
SHAH ALAM - Islam meletakkan kemuliaan terhadap kedudukan orang kurang upaya (OKU) yang merupakan insan istimewa.
Penceramah agama, Muhammad Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman berkata, ia dapat dilihat menerusi kisah sahabat Rasulullah SAW berstatus OKU, yang memperlihatkan sikap Nabi Muhammad SAW dalam menyantuni golongan itu.
Beliau berkata, pada zaman Rasulullah SAW lagi, sudah pun wujud sahabat OKU sejak mereka dilahirkan dan ada juga akibat kesan peperangan iaitu Abdullah bin Ummu Maktum RA dan Julaibib RA.
Katanya, Abdullah adalah muazin Rasulullah SAW, selain Bilal bin Rabah RA, yang mana kedua-dua mereka mempunyai waktu khusus mengumandangkan azan.
"Abdullah juga merupakan antara seorang sahabat senior Rasulullah SAW dan termasuk antara orang-orang yang pertama memeluk Islam," katanya dipetik menerusi perkongsian di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Begitupun, katanya, Abdullah memiliki kekurangan fizikal iaitu buta.
Rasulullah SAW bertanya kepadanya; “Sejak bila engkau hilang penglihatan?” Beliau menjawab, “Sejak kecil.” Maka Rasulullah SAW bersabda; “Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman, ‘Jika Aku mengambil penglihatan hamba-Ku, maka tidak ada balasan yang lebih pantas kecuali syurga.”
Ketika ALLAH memerintahkan Rasul-Nya dan kaum Muslimin hijrah ke Madinah, beliau berkata, Abdullah menjadi orang yang pertama menyambut seruan-Nya.
"Walaupun dia seorang OKU, jarak antara Makkah dan Madinah yang jauh, sekitar 490 kilometer, ancaman dari orang-orang Quraisy, belum lagi bahaya dalam perjalanan, semua itu tidak menghalanginya untuk memenuhi perintah ALLAH dan Rasul-Nya," katanya.
Kisah pemuda cacat dikasihi Rasulullah
Sementara itu, menceritakan tentang kisah Julaibib RA, MK Azman berkata, sahabat Rasulullah itu adalah seorang pemuda cacat, katik, tidak berwajah tampan serta tiada apa yang boleh dibanggakan.
Beliau berkata, Julaibib gemar bergurau senda dengan wanita, namun kekurangan pada dirinya menyebabkan kaum hawa tidak begitu sukakannya.
"Dengan adanya Rasulullah SAW, semangat dan tujuan hidupnya menjadi ceria dan boleh melupakan kekurangannya.
"Beliau rajin berzikir dan tidak pernah tertinggal untuk berada dalam saf pertama solat berjemaah, malah sentiasa menyertai peperangan besar bersama-sama baginda," katanya.
Menurutnya, Julaibib akhirnya dinikahkan dengan anak gadis seorang bangsawan Ansar yang cantik oleh Rasulullah SAW.
Beberapa hari kemudian, katanya, Julaibib menyertai Rasulullah SAW ke medan perang dan gugur sebagai syahid.
Ketika mencari tentera Islam yang terkorban dan tercedera, Rasulullah SAW bersabda, ‘Daku telah kehilangan Julaibib!’. Rupa-rupanya tiada seorang pun menyedari kehilangan Julaibib melainkan baginda.
Jasad Julaibib ditemukan di sisi tujuh mayat Musyrikin yang dibunuh olehnya, lalu Rasulullah SAW berdiri di sisi mayat Julaibib dan berkata, “Dia daripada golonganku dan aku daripada golongannya.”
Melihat kisah itu, MK Azman berkata, Rasulullah begitu mengasihi Julaibib, malah baginda sendiri menatang mayat Julaibib dengan kedua belah tangan dan meletakkannya ke dalam liang lahad.
"Bersama-sama kita contohi Rasulullah santuni OKU," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!