'Alhamdulillah duit dah cukup'
GUA MUSANG - "Terima kasih rakyat Malaysia, duit saya sudah cukup untuk melanjutkan pelajaran," kata Muhammad Izzat Amran Ibrahim, 20, bakal graduan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.
Menurut anak ketiga daripada 12 beradik ini, dia akan berangkat ke Pulau Pinang pada Ahad ini dan mendaftar di universiti berkenaan pada 2 September depan.
Pada 27 Ogos lalu, Muhammad Izzat telah menghantar surat kepada pentadbiran universiti bagi menangguhkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan dan Perancangan).
"Saya menangguhkan pengajian kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk perbelanjaan di sana nanti. Sebelum ini saya bekerja di sebuah syarikat pemasangan solar di Kajang selama tiga bulan.
"Saya pulang ke kampung selepas kerja-kerja berkenaan siap dan menunggu untuk pemasangan di lokasi lain pula. Untuk pendaftaran, saya ada simpan baki gaji saya.
"Untuk perbelanjaan sepanjang berada di universiti, tidak cukup. Saya tidak mahu menyusahkan ibu bapa saya kerana masih ramai adik yang bersekolah," katanya ketika ditemui di Pasar Lambak di sini.
Muhammad Izzat membantu ibu dan ayahnya menjaja petai, buah-buahan dan sayur untuk menampung kos pengajian.
Tambah Muhammad Izzat, dua adik-beradiknya, Muhammad Izzat Azra, 21 dan Nur Izati Syazana, 19, kini berada di universiti manakala abang sulungnya, Muhammad Izzat Rahman, 22, sudah bekerja.
Lapan adiknya, Nur Izzati Safura, 17, Muhammad Izzat Azwan, 15, Mokhtar Lamata, 14, Muhammad Izzqt Riduan, 13, Siti Khatijah,11, Muhammad Izzat Aiman, 9, Muhammad Izzat Airil, 7 dan Muhammad Izzat Aimi, 6, semua masih bersekolah.
"Kami berasal dari keluarga susah yang mana ibu dan ayah membanting tulang empat kerat bagi menyara keluarga dengan menoreh getah dan menjual buah di pasar dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.
"Abang dan adik saya mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), namun lapan adik lain memerlukan belanja sepenuhnya.
"Insya-ALLAH, saya akan belajar bersungguh-sungguh dan berusaha mengubah kehidupan keluarga saya untuk keluar dari kepompong kemiskinan," katanya lagi.
Sementara itu, bapanya, Ibrahim Ismail, 56, memberitahu, dia bersyukur kerana walaupun dia tidak mempunyai harta, namun anak-anak mampu menjejakkan kaki ke menara gading.
"Tiada apa yang paling membahagiakan saya selain melihat anak-anak berjaya. Rasa berbaloi keringat yang menitik dari pagi sampai malam bila mereka berjaya.
"Terima kasih yang membantu anak saya. Teruskan belajar dan jadi orang yang berguna.
"Cuma satu saya pesan, solat jangan tinggal. Jika kita tinggal solat, kita sedang menghampiri kegagalan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!