Batik masih ada permintaan

Mohd Fakhrul Nizam (tengah) bersama pelanggan yang membeli lukisan batik ciptaannya.
Mohd Fakhrul Nizam (tengah) bersama pelanggan yang membeli lukisan batik ciptaannya.
A
A
A

KUANTAN - Batik Pahang masih menjadi pilihan rakyat tempatan meskipun ada persaingan daripada pengeluar batik dari negara luar.

Pengusaha Batik Cherating, Mohd Fakhrul Nizam Mohamad Tamidzi, 38, berkata, bagaimanapun permintaan dan penjualan batik tidak sehebat 16 tahun lalu.

“Permintaan itu ada tapi tidak banyak. Kalau hari-hari biasa itu dapat la juga sehelai dua tempahan batik.

“Tapi kalau musim perayaan saya terima tempahan antara 2,000 hingga 3,000 dan sebagai pengusaha sudah pasti peluang ini dinanti-nantikan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Serambi Teruntum, hari ini.

Kanak-kanak turut diajar cara mewarna lukisan batik oleh peniaga di Serambi Teruntum.
Kanak-kanak turut diajar cara mewarna lukisan batik oleh peniaga di Serambi Teruntum.

Beliau berkata, pengusaha batik tempatan berdepan cabaran hebat dari negara luar negara yang turut mengeluarkan batik untuk dijual di negara ini.

Katanya, batik luar menjadi begitu popular disebabkan generasi hari ini yang mempopularkan batik dari negara luar sehingga ia menjadi trend digayakan pada majlis perkahwinan, acara formal dan santai.

“Masyarakat sekarang sudah gemar batik cetak (printed) yang dikeluarkan negara Indonesia, Kemboja, Vietnam dan China.

Artikel Berkaitan:

“Justeru ia memberi tamparan hebat kepada kami pengusaha batik kerana terpaksa melakukan sesuatu untuk memastikan industri batik terus bertahan di negara ini,” katanya.

Mohd Fakhrul Nizam berharap agar kerajaan dapat memartabatkan kembali industri batik ini seperti yang dilakukan oleh isteri mantan Perdana Menteri, Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood pada 2003.

Jelasnya, menerusi kaedah itu sahaja industri batik ini dapat berkembang dan maju.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!