OKU juga menikmati rahmat kemerdekaan
TELUK INTAN - Kemerdekaan yang dikecapi membawa pelbagai pembangunan malah mendidik rakyat di negara ini juga saling hormat-menghormati dan tidak memandang rendah kemampuan golongan orang kelainan upaya (OKU).
Bagi Norfarrah Syahirah Shaari, 31, yang merupakan OKU kudung kedua-dua tangannya, kemerdekaan yang dinikmati hari ini merupakan seribu rahmat buat dirinya itu untuk membuktikan dia juga mampu berjaya sama seperti mereka yang normal.
Pembantu Tadbir, Kolej Komuniti Teluk Intan ini berkata, persepsi serta layanan masyarakat terhadap golongan OKU juga semakin baik berbanding zaman dahulu di mana golongan sepertinya kurang mendapat perhatian.
"Bagi saya erti kemerdekaan itu adalah membebaskan diri daripada berasa rendah diri dengan kekurangan yang ada sebaliknya membuktikan kepada masyarakat bahawa kita juga mampu bersaing seperti mereka yang normal.
"Saya sering mengingatkan diri sendiri kejayaan yang saya capai hari ini adalah kerana dengan izin ALLAH SWT. dan sokongan keluarga serta masyarakat yang saling hormat-menghormati," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di Kolej Komuniti Teluk Intan semalam.
Menurut Norfarrah Syahirah, keamanan yang dinikmati hari ini turut membawa manfaat kepada golongan sepertinya terutamanya dari segi kemudahan yang disediakan kerajaan kepada OKU.
"Dulu masa saya zaman sekolah OKU ini kurang mendapat perhatian pihak tertentu begitu juga kemudahan yang amat terhad, tetapi hari ini pergi ke mana sahaja kemudahan untuk OKU sentiasa ada.
"Kalau di Kuala Lumpur menaiki kereta api juga ada menyediakan kemudahan untuk OKU berkerusi roda serta golongan seperti kami diberikan keutamaan dan ini amat berharga buat kami," katanya.
Norfarrah Syahirah turut menasihati golongan OKU agar sentiasa bersemangat dan yakin dengan diri sendiri dan menjadikan kekurangan yang mereka ada itu sebagai satu kelebihan untuk mengecapi kejayaan.
"Kita diberi ujian ini adalah untuk memastikan kita sentiasa memandang ke hadapan dan berfikir apa kejayaan yang ingin kita gapai dan lakukannya sambil berfikiran kita mampu berjaya.
"Saya sendiri menetapkan bahawa saya nak berjaya saya nak orang lain memandang OKU bukan golongan lemah tetapi golongan kuat yang mampu berjaya seperti mereka yang lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!