Serangan siber merosakkan negara
SEPULUH hari lalu, seorang pakar keselamatan internet terkemuka Israel, Menny Barzilay menyatakan dunia kini diancam serangan siber yang sangat dahsyat.
Ramalan Pengarah Urusan Pusat Penyelidikan Siber atau Cyber Research Centre (CRC) Universiti Tel Aviv itu menjadi kenyataan apabila sistem internet di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai disabotaj pihak tertentu.
Akibatnya Sistem Pengurusan Lapangan Terbang Menyeluruh (TAMS) di KLIA menjadi huru-hara dan menjejaskan kaunter pemeriksaan masuk, sistem paparan maklumat penerbangan (FIDS) serta pengendalian bagasi.
Kesan serangan siber itu menyebabkan kelewatan dan pembatalan beberapa penerbangan.
Dalam artikelnya yang disiarkan Gadjet Times pada 20 Ogos lalu, Barzilay menyebut keselamatan siber terhadap pembangunan dan kemajuan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sedang diancam orang pintar dari beberapa negara berlainan di seluruh dunia. Mereka bersekongkol melakukan jenayah siber secara berkumpulan.
Jalan penyelesaian yang dicadangkan Barzilay ialah dunia memerlukan orang lebih pintar bergabung sebagai pakar keselamatan siber bagi mengatasi kegiatan ancaman siber.
Pakar Israel itu menyarankan agar semua pihak bergabung dan bersatu memerangi ancaman siber untuk memastikan kemajuan teknologi Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT), automatic cards dan big data dilindungi sepenuhnya.
Rumusan ringkas Barzilay ialah sistem internet sekarang ini tidak direka untuk keselamatan kerana semuanya mudah digodam.
Penulis memiliki pengalaman dalam bidang ancaman siber apabila dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa teknikal Information & Communication Flagship dan Manufacturing Flagships mengikut The Seven Flagships Programme dalam Rancangan Malaysia Ke-7 (RMK-7) antara 1996 dan 2000.
Pada ketika itu, penulis terlibat dalam perancangan pembangunan sistem jaringan komunikasi dan perhubungan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Penekanan yang dilaksanakan ialah sistem keselamatan IT.
TLDM menegaskan rupa bentuk Malaysia yang dikelilingi hampir 90 peratus laut mudah untuk diserang musuh.
Oleh kerana itu, TLDM mesti memiliki sistem teknologi dan kejuruteraan pengkomputeran yang canggih dan efisen bagi mematahkan ancaman siber terutamanya kepada sistem big data dan keselamatan siber itu sendiri.
Ancaman
Beberapa tahun lalu, penulis menerima panggilan telefon daripada seseorang yang kononnya mahu menghantar barang.
Bagaimanapun, penulis perlu memasukkan wang dalam jumlah yang besar dalam akaun tertentu.
Ancaman siber dalam bentuk penipuan kini menjadi barah kerana semakin ramai ditipu sekalipun bijak pandai dalam kehidupan.
Wikipedia.com menyatakan `ancaman’ dalam sistem keselamatan komputer ialah tindakan bahaya mengeksploitasi kelemahan seseorang atau sistem menyebabkan kemudaratan serius.
Ancaman itu dilakukan secara sengaja atau terang-terangan oleh penggodam. Kesannya boleh mengakibatkan kerosakan komputer atau bencana alam sekitar seperti gempa bumi, kebakaran atau pelanggaran yang dibuat-buat sebagai kemalangan.
Sebenarnya, ALLAH SWT telah memberi peringatan kepada manusia yang taat kepada-Nya tentang kewujudan golongan yang sentiasa memporak-peranda masyarakat sebagaimana dijelaskan dalam surah Luqman [31:6-7] bermaksud, “Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan ALLAH tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan ALLAH itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang sangat menghinakan; Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami dia berpaling dengan menyombongkan diri seolah-olah dia belum mendengarnya, seakan-akan kedua telinganya tersumbat; maka beri khabar gembiralah dia dengan azab yang pedih."
Sekarang ini banyak isu dan insiden berlaku sama ada sengaja atau diada-adakan seperti memutarbelitkan ucapan orang yang menegakkan kebenaran, Jalur Gemilang dikibarkan terbalik, kegagalan sistem komunikasi, gangguan bekalan elektrik, kemalangan jalan raya dan pelbagai lagi insiden ditularkan seperti adanya muslihat bagi mengkaburkan mata masyarakat yang taat kepada ALLAH serta pemerintahan yang telus.
Penulis juga ingin mengimbas kembali insiden 2014 yang ada kaitan dengan Sony Corporation dan The Interview. Kononnya tindakan menggodam dilakukan The Guardians of Peace yang ada kaitan dengan Korea Utara.
Penulis percaya kebanyakan industri dan sektor korporat di Malaysia belum bersedia menghadapi serangan jenayah siber.
Untuk itu, kerajaan Malaysia disaran segera membangunkan sistem bagi membanteras ancaman siber.
Semua pihak mesti peka supaya tidak menjadi mangsa serangan siber. Inilah cabaran besar Malaysia untuk menjadi negara maju.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!