Penjagaan tandas perlu diberikan perhatian: Ahmad Yakob

Ahmad (tiga dari kiri) merasmikan PK Comey di Medan Ilmu, di sini hari ini.
Ahmad (tiga dari kiri) merasmikan PK Comey di Medan Ilmu, di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Negeri Kelantan berharap penjagaan tandas di negeri ini diberikan perhatian sebaiknya selaras dengan pelbagai kempen kebersihan yang dilaksanakan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, langkah tersebut adalah selari dengan teguran yang dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai keadaan tandas di seluruh negara yang dilihat masih tidak bersih dan tidak selesa.

"Kita ambil peranan (dalam kempen) ini sebagai salah satu inisiatif kita menjaga kebersihan tandas terutamanya di masjid-masjid. Banyak masjid yang minta (buat permohonan) untuk mendapatkan pendingin hawa.

"Kalau tandas tidak 'ok', kita tidak akan bagi pendingin hawa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan PasarKu (PK) Comey di Medan Ilmu, di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri telah melakukan pelbagai program dan kempen kesedaran kebersihan bagi penggal ini, selain menggunakan sebaik mungkin sumber asli negeri yang ada dalam pelbagai industri.

Beliau juga berkata, kerajaan berharap agar seruan menjaga kebersihan diambil perhatian seluruh rakyat negeri ini, bukan hanya di kawasan tumpuan orang ramai malah di kawasan perumahan itu sendiri.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyaksikan bacaan ikrar daripada peniaga-peniaga di Medan Ilmu sebagai merealisasikan kempen PK Comey yang dilaksanakan di kawasan tersebut selama sebulan.

PK Comey merupakan salah satu kempen kebersihan melibatkan 3,900 peniaga pasar tani, pasar malam dan pasar pagi di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

Kempen PK Comey yang pertama dijalankan di Pasar Parit Dalam dan ia mendapat reaksi positif semua pihak, selain ia berjaya membawa kesedaran kepada seluruh masyarakat yang terlibat.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya malu dengan keadaan tandas di Malaysia: Dr Mahathir

Sebelum ini, Dr Mahathir mengakui beliau malu dengan keadaan tandas di Malaysia yang kotor dan busuk.

Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan beliau selalu melakukan pemeriksaan di tandas awam dan mendapati ia selalu berada dalam keadaan kotor.

Menurutnya, keadaan sebegitu berlaku kerana tiada perasaan tanggungjawab sivik dalam hati mereka yang mengotorkan tandas berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!