Lelaki melecur, tujuh keluarga tinggal sehelai sepinggang
LABUAN - Seorang lelaki melecur di tangan ketika cuba memadamkan kebakaran di rumahnya awal pagi ini yang mengakibatkan tujuh keluarga tinggal sehelai sepinggang.
Kebakaran yang bermula pada kira-kira jam 2 pagi, memusnahkan rumah kayu dua tingkat yang disewa oleh kesemua keluarga itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Zainal Madasin berkata bilik operasi menerima panggilan kecemasan pada 2.42 pagi dan bomba berjaya memadamkan kebakaran itu 30 minit kemudian.
Tiada penghuni rumah, termasuk tujuh kanak-kanak, berjaya menyelamatkan harta benda masing-masing kerana api marak dengan cepat.
Seorang daripada mangsa, Suwardi Alwi, 29, berkata, beliau bekerja syif malam pada waktu itu dan bergegas pulang ke rumah tetapi mendapati rumahnya telah musnah sama sekali. Isteri dan anak lelakinya berusia tiga tahun tidak berada di Labuan ketika ini.
“Tiada apa yang tinggal. Pakaian kami, barangan elektrik semuanya musnah, termasuk Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) saya dan dokumen lain,” katanya kepada Bernama.
Osman Lapannabu, 45, berkata, beliau baru pulang dari kerja pada kira-kira jam 2 pagi dan terkejut melihat rumahnya terbakar.
“Isteri saya dan dua anak kami, berusia sembilan dan 11, telah keluar dari rumah. Kami hanya berjaya menyelamatkan dokumen-dokumen kami sahaja. Pakaian dan barangan lain semuanya musnah,” katanya.
Mangsa-mangsa kini merayu bantuan segera daripada pihak berkuasa dan masih bingung memikirkan untuk mencari penempatan sementara.
Zainal berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan.
Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, ketika dihubungi berkata, bantuan segera akan dihulurkan kepada mangsa-mangsa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!