Datuk dihadap ke mahkamah atas tuduhan kemuka surat palsu

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mengemukakan surat palsu bagi menghalang bayaran hutang sewa premis berjumlah RM40,000, November tahun lepas.

Tertuduh Datuk S. Thavarajah, 73, bagaimanapun mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mahyun Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menghalang bayaran hutang sewa premis, kepada Pengarah Syarikat Redza Security Sdn Bhd, N. Mohana Sundram, 58, berjumlah RM40,000 daripada dapat dikutip dengan mengemukakan surat palsu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis beralamat No.23, Jalan Durian Emas 3, Betaria Business Centre di sini, pada pukul 2.11 petang, 30 November 2018 dan dia didakwa mengikut Seksyen 422 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mas Syafiqah Mahroob manakala tertuduh diwakili peguam M. Haresh.

Mahyun kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 September depan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!