Johor tetap ambil langkah berjaga-jaga
PAGOH - Kerajaan Johor komited memantau perkembangan berhubung keselamatan murid susulan insiden pencemaran udara berulang di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih di Pasir Gudang, baru-baru ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, meskipun keadaan tersebut disahkan terkawal, namun langkah keselamatan terus diatur demi memastikan sistem persekolahan berjalan lancar.
“Jabatan Pendidikan Negeri akan mengambil sebarang langkah yang boleh dilakukan sekiranya insiden sama berulang, malah Kerajaan Johor juga boleh bertindak bagi menangani isu ini.
“Buat masa sekarang, belum ada lagi keperluan untuk menutup operasi sekolah terbabit, namun jika perlu, kita akan lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung tindakan yang bakal diambil sekiranya insiden pencemaran udara berulang ketika musim peperiksaan.
Terdahulu, Dr Sahruddin ditemui media selepas merasmikan Program Simbolik Penyerahan Baja dan Jalur Gemilang Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, di sini hari ini.
Rabu lalu, SK Taman Pasir Putih di Pasir Gudang sekali lagi menjadi tumpuan seramai 33 murid mengalami simptom loya dan muntah selepas terhidu bau busuk akibat pencemaran udara.
Bagaimanapun, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor semalam mengesahkan keadaan persekitaran udara di sekolah berkenaan kini selamat.
Bagaimanapun, Jabatan Alam Sekitar masih menyiasat punca utama menyebabkan murid sekolah berkenaan loya dan muntah.
ARTIKEL BERKAITAN: Lagi kes murid Pasir Gudang loya, pening
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!