Datuk mengaku tidak bersalah kemukakan surat palsu
SEREMBAN - Ahli perniagaan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan surat palsu bagi mengelak pembayaran hutang sewa premis berjumlah RM40,000 pada tahun lalu.
Tertuduh, S Thavarajah, 73, membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusof dekat Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghalang bayaran sewa premis kepada Pengarah Syarikat Redza Security Sdn Bhd, N Mohana Sundram, 58, berjumlah RM40,000 dengan mengemukakan surat palsu.
Kejadian itu berlaku di sebuah premis di Jalan Durian Emas 3, Betaria Business Centre pada jam 2.11 petang 30 November 2018.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 422 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mas Syafiqah Mahroob manakala tertuduh diwakili peguam, M Haresh.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 September depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!