Jadikan isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik satu iktibar

Maliaman (kanan) melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan pengguna jalan raya sewaktu Program Gotong-royong Merdeka di Ajil, Hulu Terengganu.
Maliaman (kanan) melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan pengguna jalan raya sewaktu Program Gotong-royong Merdeka di Ajil, Hulu Terengganu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Semua pihak termasuk pengurusan sesebuah institusi pendidikan perlu mengambil iktibar di sebalik isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim berkata, sama ada disengajakan atau sebaliknya ia satu kesalahan moral yang besar dan berkait rapat dengan kedaulatan negara.

"Kita berharap perkara sedemikian tidak berulang lagi. Sebagai rakyat Malaysia tentunya kita perlu faham bahawa Jalur Gemilang ini tidak boleh dipasang terbalik, dihina atau dipijak kerana ini imej kedaulatan negara.

"Kerajaan negeri dengan kerjasama pihak berkaitan akan memantau secara berterusan perkara ini agar tidak berlaku di sekolah atau mana-mana institusi pendidikan di Terengganu terutamanya sepanjang bulan kebangsaan ini.

"Isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik ini perlu dijadikan pengajaran oleh semua pihak agar tidak berulang. Pemantauan daripada pihak pengurusan perlu dilakukan sama ada bendera dipasang orang tempatan ataupun warga asing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian sewaktu Program Gotong-royong Merdeka di Ajil, di sini.

Pada program itu juga, Maliman yang juga Adun Ajil turut melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan pengguna jalan raya bagi menyemarakkan lagi bulan kebangsaan tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Maliman turut berpendapat beliau secara peribadi tidak menolak kemungkinan insiden pemasangan Jalur Gemilang terbalik yang tular baru-baru ini adalah suatu perkara yang dirancang.

Artikel Berkaitan:

"Kalau satu sahaja mungkin kesilapan yang tidak disengajakan, tetapi apabila banyak kemungkinan juga ada perancangan sulit tertentu.

"Kita bimbang dan takut wujudnya komplot atau perancangan yang rapi daripada mana-mana pihak untuk gugat kedaulatan dan keamanan negara. Kecintaan kepada tanah air ini perlu ditanam dalam jiwa sejak kecil lagi,"

ujarnya.

Program itu disertai kira-kira 400 individu termasuk jabatan serta agensi kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!