Sorok 12kg dadah dalam alat buat roti canai
SEPANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan dua cubaan menyeludup dadah bernilai hampir RM1 juta oleh dua warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada bulan ini termasuk satu kes dadah disorokkan dalam perkakas memasak.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, pemeriksaan ke atas dua buah kotak dibawa oleh seorang lelaki warga India yang tiba di KLIA2 dari Bengaluru, India pada 26 Ogos lalu menemui serbuk putih disyaki dadah jenis syabu.
"Dadah berkenaan disorok dalam 47 unit set 'rolling board' atau set papan dan pencanai doh untuk membuat roti canai. Methamphetamine yang dirampas dianggarkan seberat 12.37kg dan bernilai RM618,500,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati dadah dirampas itu adalah untuk dibawa ke Malaysia dan bukannya bagi tujuan transit ke negara lain.
"Ini adalah kali ke-12 suspek memasuki Malaysia dan pertama kali dadah ditemui dalam perkakas memasak.
Dalam satu lagi kes berasingan pada 23 Ogos lalu sebanyak 99 butir ketulan kecil berwarna hitam disyaki dadah jenis kokain ditemui hasil imbasan dan pemeriksaan lanjut ke atas bagasi seorang lelaki warga Brazil berusia 28 tahun yang tiba di KLIA selepas transit di Dubai.
"Dadah jenis kokain seberat 1.28kg bernilai RM257,400 dirampas itu dipercayai dari Brazil.
"Kedua-dua suspek warga asing itu sudah direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Sepang dan akan didakwa dalam tempoh terdekat," katanya.
Zulkurnain berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, menurutnya, sebanyak 38 kes dadah di KLIA dicatatkan bagi tahun ini dengan rampasan dadah keseluruhan bernilai RM4.6 juta melibatkan sembilan tertuduh.
Sementara itu, katanya, gangguan sistem di KLIA baru-baru ini tidal memberi kesan kepada pemeriksaan kastam kerana pemeriksaan yang dijalankan kastam adalah secara manual. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!