Menteri Pakistan ramal perang pada Oktober, November
ISLAMABAD - Menteri Kereta Api Pakistan, Sheikh Rasheed Ahmed meramalkan perang habis-habisan dengan India bakal berlaku pada bulan Oktober atau November.
Bercakap dalam satu majlis di Rawalpindi, Ahmed berkata, saat perjuangan akhir bagi kebebasan Kashmir sudah tiba dan perang kali ini adalah 'perang terakhir'.
"Sekiranya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mahu menyelesaikan isu Kashmir, maka ia seharusnya mengadakan pungutan suara umum di Kashmir.
"Nasib Kashmir kini akan ditentukan golongan muda dan kita harus bersatu dengan penduduk Kashmir," katanya.
Ahmed turut menuduh Perdana Menteri India, Narendra Modi menimbulkan kekacauan di wilayah bergolak itu dan mengheret Kashmir ke ambang kemusnahan.
"Pakistan adalah satu-satunya halangan buat Modi. Mengapa dunia Islam selebihnya hanya membisu berhubung isu Kashmir?
"Mereka yang masih berfikir terdapat kemungkinan dialog dengan India adalah bodoh," kata Ahmed sambil menambah ucapan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan di PBB pada 27 September adalah amat penting.
Terdahulu, Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi menuduh Modi mengganggu-gugat semangat bilateralisme antara kedua-dua negara jiran terbabit.
"Modi harus memberitahu dunia sama ada langkah beliau pada 5 Ogos lalu (menghapuskan status khas Kashmir) adalah langkah bilateral atau unilateral," kata Ahmed.
Di bawah Perjanjian Shimla, Pakistan dan India terikat untuk menyelesaikan pertikaian Kashmir secara bersama. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!