Pesanan merdeka hiasi Malaysia #QuranHour
KUALA TERENGGANU - Pesanan erti kemerdekaan negara menghiasi kemeriahan suasana program Malaysia #QuranHour yang berlangsung di lokasi induk negeri ini, Masjid Abidin pagi tadI.
Lebih istimewa, ia disampaikan sendiri Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda yang turut membuat huraian tadabbur ayat 100 hingga 110 surah al-Kahfi.
Imam Masjid Abidin, Wan Mohd Hazim Wan Mohd Hashim yang juga pegawai masjid negeri itu berkata, program kali ini amat bermakna kerana buat julung kalinya, masjid itu bekerjasama dengan Rumah Ngaji Terengganu.
“Sebelum ini, masjid negeri hanya buat program ini dalam kerangka sendiri tapi kali ini, ada kelainan dengan adanya sokongan dari Rumah Ngaji termasuk menyediakan kelengkapan program.
“Sambutan pada hari ini juga sangat menggalakkan dengan penyertaan hampir 500 peserta terdiri daripada jemaah masjid sendiri, jemputan daripada agensi-agensi sekitar masjid serta jemputan daripada murid tahfiz dari Pasir Panjang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Program Malaysia #QuranHour itu bermula jam 11 pagi, dimulai dengan bacaan surah al-Fatihah yang dipimpin oleh Qari Terengganu, Abdul Hadi Che Abdul Halim yang juga bilal Masjid Abidin.
Beliau kemudiannya memimpin bacaan surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5, diikuti bacaan surah al-Kahfi ayat 1 hingga 10 serta ayat 100 hingga 110.
Ia disusuli dengan pesanan kemerdekaan dan tadabbur surah al-Kahfi dan bacaan doa oleh Dr Zulkifly.
Wan Mohd Hazim menambah, Masjid Abidin amat menyokong program itu dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin mengadakan program sebegitu di masjid berkenaan pada masa akan datang.
“Kita mengharapkan agar program melibatkan al-Quran diperbanyakkan dan diteruskan lagi sebab al-Quran ini panduan hidup kita sebagai umat Islam, maka semestinya kita kena sentiasa dekat dengan al-Quran supaya al-Quran dapat memimpin dan memandu kita dalam sebarang urusan kita atas dunia ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia #QuranHour sejajar dengan gagasan 'Rahmatan Lil Alamin'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!