Malaysia #QuranHour: Surah al-Kahfi benteng fitnah akhir zaman
KUALA TERENGGANU – Umat Islam digalakkan untuk menjadikan bacaan surah al-Kahfi sebagai amalan pada setiap Jumaat kerana ia mengandungi kisah dan iktibar serta sebagai benteng menghadapi fitnah dan ujian pada akhir zaman.
Pengetua Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah Darul Hijrah, Wan Muhammad Mizan Wan Abdul Latiff berkata, pengajaran daripada surah itu juga perlu dijadikan iktibar sebagai langkah memelihara diri, mengukuhkan iman dan berjaga-jaga dalam menghadapi ujian serta fitnah dunia.
“Dunia hari ini berada pada zaman fitnah yang melata dan terlalu banyak peristiwa yang berlaku dengan tempiasnya turut terkena pada negara kita.
“Kita harap masyarakat dapat menjadikan surah al-Kahfi sebagai amalan kerana galakan untuk membaca surah ini ada disebut dalam hadis-hadis sahih Rasulullah SAW khususnya menghadapi fitnah dajal dan menghadapi cabaran serta ujian akhir zaman,” katanya.
Beliau yang juga selaku pentadabbur surah al-Kahfi pada program Malaysia #QuranHour di Rumah Ngaji Darul Hijrah berkata, antara pengisian tadabbur surah itu ialah mensyukuri nikmat kemerdekaan dikurniakan ALLAH SWT.
“Erti kemerdekaan sebenar ialah ketika umat Islam dapat beramal dengan seluruh ajaran Islam dan dapat meninggikan kalimah dan agama ALLAH SWT dalam negara dengan mensyukuri dan menjaga asas-asas perpaduan sedia ada dalam rangka perlembagaan negara.
“Kita membina semangat Malaysia dalam kalangan kita umat Islam dengan menghormati kepelbagaian kaum dan agama di negara kita bagi mengelak berlakunya perpecahan,” katanya.
Sementara itu, Koordinator Malaysia #QuranHour, Noor Azilah Ahmad berkata, seramai 200 peserta termasuk 97 pelajar madrasah itu menyertai program berkenaan.
Katanya, kemuncak program selama hampir dua jam setengah itu dirasai ketika alunan bacaan surah al-Kahfi yang diketuai Syeikh Omar Sadiq Muhammad Amin iaitu qari dari Iraq serta merupakan tenaga pengajar di madrasah berkenaan.
“Ini adalah program kali kedua diadakan di madrasah ini dan sambutan kali ini kita adakan dalam skala lebih besar berbanding tahun lalu.
"Kali ini, program ini dimulai dengan perbarisan sempena kemerdekaan jam 10 pagi oleh pelajar-pelajar madrasah. Kita turut menjemput anggota daripada Balai Polis Chendering untuk turut sama dalam program ini,” katanya.
Malaysia #QuranHour yang memasuki edisi kelima penganjurannya akan berlangsung hari ini dengan membawa tema 'Bangsa Berbudi dan Penyayang'.
Tahun ini, surah al-Kahfi dipilih sebagai surah tema seiring dengan panduan untuk menghadapi cabaran akhir zaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!