Sejam tahan sakit tersepit dalam lori simen
SEMENYIH - Seorang pemandu lori simen terpaksa menahan sakit lebih satu jam akibat tersepit selepas kenderaan dipandunya terbalik di Jalan Semenyih Sungai Lalang di sini petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian pada jam 2.49 petang sebelum sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih bergegas ke lokasi.
“Menurut komander operasi, kemalangan hanya membabitkan sebuah lori muatan simen.
“Terdapat seorang lelaki berumur 45 tahun tersepit di bahagian pemandu. Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan dengan bantuan 'excavator',” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang cedera di kaki kanan dihantar ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Keadaan mangsa stabil dan sedar ketika diselamatkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!