Kebimbangan Pas terbukti berasas
KOTA BHARU – Kebimbangan Pas berhubung DAP akan menentang Islam selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sudah semakin terbukti dengan suasana politik yang melanda negara kini.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, komponen Pakatan Harapan (PH) dilihat seolah-olah akur terhadap DAP termasuklah berkaitan agama Islam sebaik DAP menguasai politik.
“Inilah yang kita sebut dulu masa PRU tapi orang tidak percaya. Orang kata Pas mahu sokong UMNO dan pertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita tidak pertahankan tapi kita beri pilihan kepada rakyat, kalau tidak suka BN (Barisan Nasional), undilah Pas tapi semuanya pergi sokong DAP.
"Alhamdulillah, rakyat Kelantan ini bijak. Mereka tidak berganjak, masih sokong Pas tapi kepada yang lain, mungkin mereka sudah silap buat keputusan menilai politik semasa,” katanya semasa menyampaikan ceramah isu semasa di Pengkalan Chepa di sini semalam.
Menurutnya, bagi memastikan pengukuhan Islam, pihaknya turut mengajak semua umat Islam dalam UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk sama-sama menegakkan perjuangan dan kepentingan Islam dalam negara.
“Selama ini kita nak lawan UMNO, kita capai matlamat tersebut dan UMNO pun sudah kalah tapi bila UMNO jatuh, masalah lain pula timbul. Kerajaan baru yang dikuasai orang bukan Islam. Cara pemikiran, politik, arah tuju dan matlamat semestinya tidak sama dengan orang Islam.
“Jadi inilah yang bahayanya kepada Islam tapi kalau kita (Islam) yang memerintah, orang bukan Islam tetap akan hidup aman damai. Sejarah sendiri membuktikan perkara tersebut,” katanya.
Beliau berkata, penyatuan sesama Islam bukan bukan bertujuan menimbulkan ketegangan kepada masyarakat bukan Islam sambil memberitahu masyarakat Islam dan bukan Islam khususnya di Kelantan hidup aman damai dan harmoni di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!