Pakar Strategik Pakatan Harapan sebagai peramal amaran awal (AWACS)
WAWASAN 2020 diilhamkan para cerdik pandai seperti Allahyarham Tan Sri Nordin Sopiee dan Allahyarham Dr Rustam Sani.
Kedua-duanya mempunyai PhD, Allahyarham Tan Sri Nordin daripada LSE di dalam sains politik dan Allahyarham Dr Rustam pula daripada Universiti Yale.
Mereka ialah para cendekiawan negara dan Malaysia kehilangan mereka terlalu awal.
Mereka mengilhamkan Wawasan 2020 pada tahun 1990 dengan satu visi utama: memberi Malaysia satu wawasan yang sempurna untuk mara ke hadapan. Tidak mengenal parti, semua rakyat Malaysia bersatu.
Sama ada MCA atau DAP, terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara di atas seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir di dalam Malaysian Business Council.
Antara matlamat yang perlu dicapai adalah pertumbuhan KDNK pada kadar 7.5 peratus setiap tahun untuk menggandakan saiz KDNK Malaysia setiap dekad.
Pada kadar AS$300 billion, Malaysia tidak menggandakan saiz KDNK setiap dekad antara tahun 1990 dan 2000, apatah lagi tiga kali ganda pada tahun 2020.
Wawasan 2020 atau Visi 2020 perlu diganjakkan ke tahun 2025 disebabkan kleptokrasi mantan Perdana Menteri, Najib Razak meletakkan Malaysia ke lembah hutang yang melepasi siling sebanyak AS$290 billion dan nilai ini semakin meningkat.
Walaupun sudah melepasi 'tsunami' dalam perebutan kuasa dari tangan UMNO dan Barisan Nasional (BN), cengkaman kerajaan lama masih lagi menghantui.
Negara memerlukan pembuat dasar dan ahli strategik daripada semua parti yang membentuk Pakatan Harapan (PH) dan yang penting sekali hubungan antara organisasi masyarakat sivil, termasuk rakyat Malaysia di luar negara yang tidak pernah melupakan hubungan dan sentimen mereka kepada Malaysia, sama ada mereka di Hong Kong, Hanoi, ataupun Hannover.
Sebagai contoh, pemain bola sepak Lim Teong Kim. Beliau boleh sahaja meneruskan kerjayanya, secara tetap, di Bayern Munich tetapi anak kelahiran Melaka itu kembali ke Malaysia untuk menerajui skuad bole sepak muda Malaysia.
Kenapa rakyat seperti Lim Tiong Kim ini kembali ke Malaysia? Ia disebabkan oleh 'Malaysia' itu sendiri. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
Apabila kebanyakkan orang seperti saya meluahkan perkara yang sebenar terhadap PH selepas kekalahan di Pilihan Raya Kecil di Cameron Highlands dan Semenyih, kami lakukan itu semata-mata untuk Malaysia bagi meletakkan negara pada landasan yang tepat.
Mengambil contoh teknologi blockchain, ia bukan hanya satu mata wang crypto seperti Bitcoin atau Ethereum yang diharam oleh Bank Negara.
Teknologi blockchain semakin mendapat tempat di Jepun, sebuah negara dimana Malaysia menjadikan Jepun sebagai model dalam dasar pandang ke Timur. Selain itu, Teknologi Blockchain ini juga semakin mendapat tempat di China dan Korea Selatan.
Semua eksport, sama ada sarang burung, sijil pendidikan, termasuk Bahasa Malaysia ataupun khat dapat digabung dengan teknologi blockchain atau 'di-blockchain-kan' dan disahkan dengan ciptaan satu siri huruf abjad.
Malaysia masih terperangkap di dalam mindset 4G, padahal dunia memasuki era 5G dengan mengambil kira sama ada keperluan untuk meletakkan harapan sepenuhnya terhadap Huawei ataupun benda lain.
Negara tidak akan berkembang melainkan terdapat pakar-pakar strategik daripada semua pihak berganding bahu dalam menyumbang idea dan kepakaran bersama. Sebagai Pengerusi Dasar dan Strategi Bersatu, kerja saya di sini adalah untuk memberikan pandangan yang kritikal dan benar dalam usaha memajukan negara.
Kesemua tujuh ahli akademik yang pernah membantu EMIR Research (yang saya tubuhkan) untuk mendapatkan hasil analisis pilihan raya pada 2018 secara tepat, boleh menghasilkan analisis pilihan raya pada tahun 2023 ataupun dalam tempoh terdekat secara tepat sekali lagi.
Ia privasi dan eksklusif, tidak membenarkan saya untuk menamakan mereka secara individu.
Tetapi suatu hari nanti, sejarah akan menamakan mereka sebagai peramal. Terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang turut menyumbang buah fikiran mereka dalam mengadakan Bersih 1 hingga ke 5 untuk menolak UMNO dan PAS. Tiada seorang pun pemimpin dapat melakukannya secara sendiri.
Ini adalah usaha satu pasukan sejak tahun 1998 atau 1970, jika menumpu kepada Dasar Ekonomi Negara, ataupun perkara yang terdahulu lagi iaitu apabila Allahyarham Tun Abdul Rahman, Tan Cheng Long, dan Tun Sambathan berangkat ke London untuk menuntut kemerdekaan Malaysia.
Lee Kuan Yew juga turut memainkan peranannya sebelum pemisahan antara Singapura dari Malaysia pada tahun 1965.
Tetapi PH akan berdepan dengan masalah sekiranya pemimpin tidak menumpukan usaha terhadap tiga perkara ini: Pertama, mengabaikan manifesto PH yang digubal dengan usaha dan titik peluh pakar strategik dengan kerjasama dan perkongsian pakar yang disumbangkan pihak pemegang taruh dan penyelidik.
Kedua, mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen atau Parliamentary Select Committees yang dirancang pemikir berpengalaman dan terakhir tidak memberi tumpuan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan, terdapat segelintir tidak menghadiri mesyuarat dengan sengaja, dalam mesyuarat pakatan ataupun parti.
Semua pakar strategik, menurut Carl Von Clauwitz, seorang pakar strategi militari Jerman pada abad 19 dalam usaha mencari strategi, mereka menghadapi 'fritchon' dalam bahasa Jerman ataupun 'friction' dalam bahasa Inggeris.
Salah satu 'frictions adalah kesukaran dalam melaksanakan strategi apabila pihak pengurusan tertinggi atau pertengahan tidak memberi tumpuan sepenuhnya. Sesuatu strategi akan menjadi satu dokumen dan akan menghadapi banyak halangan dari awal lagi.
Bersatu mengalami masalah ini, sama seperti DAP. Liew Chin Tong, salah seorang ahli strategik utama parti DAP, mengatakan bahawa terdapat 20 peratus pengundi yang mengalihkan sokongan mereka daripada Barisan National dan UMNO pada 2018.
Bagaimanapun, beliau kemudian menjelaskan bahawa pengundi tersebut bukan tertarik dengan PH, tetapi meluahkan kekecewaan mereka terhadap 'first couple' kerajaan yang mentadbir sebelum ini.
Bersatu adalah sebuah parti yang sepatutnya membawa Malaysia maju ke hadapan, berpaksikan kepada kebebasan untuk menyampaikan dan membahaskan idea, Manifesto yang baru dan Wawasan 2025 yang utuh.
Tetapi, ia tidak kesampaian apabila terdapat pemimpin pengurusan tertinggi Bersatu ingin menghukum orang yang mampu meramal pasang surut Pakatan Harapan.
Apabila Nouriel Roubini, daripada NYU, meramalkan Krisis Kewangan Asian, beliau tidak dihina sebagai tukang tilik. Apabila Urjit Patel, Gabenor Bank Sentral di India, dipecat oleh PM Naredha Modhi pada December 2018, beliau keluar secara senyap.
Professor KS Jomo di Malaysia juga memberi amaran mengenai perubahan angin yang bakal dihadapi Malaysia. Sama juga dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang memberi amaran mengenai pengurangan sedikit demi sedikit penyokong PH termasuklah Ahli Parlimen PKR Bentong, Wong Chen.
Oleh itu, terdapat keperluan yang berterusan untuk menyuarakan kebenaran bagi tujuan membaik pulih negar; walaupun ini harus disampaikan kepada pemimpin yang tertinggi dalam kerajaan.
Secara keseluruhannya, ini adalah untuk kebaikan Malaysia, lebih-lebih lagi apabila kita akan menyambut Hari Kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos.
Hakikatnya, ramai telah mula bertanya mengenai hala tuju sebenar negara, ini adalah tanda awal di mana ramai mula meragui dengan Malaysia baru yang cuba dicipta oleh Pakatan Harapan.
Saya menyampaikan suara yang telah bermain dan wujud di minda masyarakat. Perkara terakhir yang perlu dilakukan adalah mematikan para penyampai berita benar.
Pakar strategik adalah peramal amaran awal. Dan, jika kita berjaya membuktikan sebelum ini bahawa kita tepat membuat ramalan, berbanding dengan ramalan analisis saintis politik, kita akan buktikannya sekali lagi kerana metodologi yang kami gunakan adalah berdasarkan data dan juga proses yang tepat.
Selamat Hari Kemerdekaan ke-62!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!