Kekosongan Kabinet bila PM kosong jawatan: Dr Wan Azizah
CYBERJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kekosongan dalam Kabinet hanya akan berlaku apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengosongkan jawatan Perdana Menteri.
Bercakap kepada media selepas melawat CyberSecurity Malaysia di sini hari ini, beliau berkata, kekosongan dalam Kabinet perlu dibuat berdasarkan apa yang dijanjikan dalam Pakatan Harapan.
"Saya kira kalau PM kosongkan (tempat), itu yang dijanjikan," katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir bahawa tidak ada kekosongan dalam Kabinet buat masa ini.
Dr Mahathir ketika ditanya sama ada beliau akan membawa masuk Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Kabinet dilaporkan berkata Kabinet tiada kekosongan sekarang dan tidak juga akan berlaku pertambahan ahli Kabinet.
Dr Mahathir dilaporkan berkali-kali menyatakan proses peralihan tampuk pemerintahan kepada Anwar akan berlaku. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Saya letak jawatan, Anwar akan ganti: PM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!