Al-Quran miliki solusi semua masalah
IPOH - "Al-Quran memiliki semua solusi masalah di dunia ini," itu reaksi Pengerusi Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim) Taman Tasek Jaya, Datuk Dr Fadzli Cheah sempena Malaysia#Quran Hour di masjid berkenaan hari ini.
Fadzli berkata, al-Quran secara keseluruhannya memberikan garis panduan kepada manusia untuk hidup di dunia serta di akhirat kelak.
"Menyedari hakikat ini semua pihak perlu memahami serta menghayati al-Quran dalam kehidupan seharian. Tidak ramai yang menyentuh al-Quran hari ini. Ada yang faham tetapi tidak praktikkan.
"Sebenarnya al-Quran itu ada garis panduan untuk kita jalankan cara hidup di dunia ini dan juga di akhirat. Oleh itu kita semua kena faham al-Quran selain dapat hayati al-Quran. Itu yang penting," katanya.
Sementara itu, Fadzli melihat penglibatan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sempena Malaysia #QuranHour kali ini sebagai satu permulaan yang baik.
"Ini satu usaha yang bagus. Satu kefahaman untuk rakyat terutama orang muda dan murid bukan Islam supaya fahami kepentingan al-Quran dalam Islam.
"Kita boleh ambil kesempatan untuk berdakwah kerana ia mungkin satu permulaan yang baik untuk fahami Islam," katanya.
Sebanyak 149 SJKC dan 46 SJKT di sekitar Perak terlibat sempena Malaysia #QuranHour kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!