Dua mangsa terperangkap dalam kebakaran 31 premis
KUANTAN - [DIKEMASKINI] Sebanyak 20 premis perniagaan,11 rumah dan sebuah perpustakaan awam musnah dalam kebakaran di pekan Sungai Lembing awal pagi tadi.
Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harul berkata, kejadian kebakaran itu dipercayai berlaku kira-kira 1.30 pagi selepas menerima panggilan daripada orang awam.
Menurutnya, pasukan Bomba sukarelawan yang terdiri daripada enam anggota telah ke lokasi dan melakukan kerja memadam api sebelum ia merebak.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Pahang menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 1.52 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.
“Lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Taman Tas, Indera Mahkota dan Gebeng terbabit dalam operasi mengawal dan memadamkan kebakaran,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Beliau berkata, Seramai 54 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi tersebut dibantu pasukan bomba sukarela dari pekan Sungai Lembing serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berserta orang awam.
Jelasnya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya jam 3.55 pagi.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat manakala Unit Forensik JBPM Pahang akan melakukan pemeriksaan di kawasan itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!