Hanya pandai laung merdeka

A
A
A

SESIAPAPUN akan suka jika menyambut raya. Apabila disebut ‘raya’, sudah tentu melibatkan majlis yang besar dan diraikan oleh ramai orang.

Kebiasaannya terdapat tiga perayaan besar yang disambut di negara kita iaitu, perayaan berkaitan dengan keagamaan dan adat, sambutan tahun baharu serta kemerdekaan.

Sebetulnya, ramai yang menyambut ‘raya’ tidak dengan hati. Mereka gagal menyerap falsafah sebenar di sebalik tujuan perayaan tersebut. Begitulah juga dengan sambutan hari kemerdekaan. Sudah 62 tahun kita menyambut kemerdekaan, namun apa yang diperbesarkan hanyalah kosmetiknya sahaja tanpa adanya perubahan yang besar dari segi nilai, akhlak dan pemikiran rakyatnya.

Laungan kemerdekaan sentiasa basah dibibir, namun getarannya tidak turun ke hati. Apa yang jelas, sambutan kemerdekaan ini seumpama menghias rumah dari luar semata-mata, namun pembentukan sahsiah dan perkembangan pemikiran isi di dalam rumah tidak serius dilaksanakan.

Sepanjang bulan kemerdekaan, banyak acara dilakukan. Tidak kira di peringkat kerajaan pusat, negeri, tempatan dan juga di kampung-kampung begitu giat mempromosikan sambutan hari kemerdekaan. Begitu juga dengan pelbagai agensi dan institusi baik daripada pihak kementerian dan jabatan sama ada sektor kerajaan dan swasta.

Sepintas lalu, keadaan ini cukup baik untuk menunjukkan kesepakatan dan kesepaduan rakyat dalam meraikan sambutan kemerdekaan. Namun apa yang dikesalkan, semangat cintakan tanah air tidak tekal dan utuh sebagaimana akar mengikat tanah. Jika akar tidak kukuh dan usia pokok pula semakin meningkat, lama-kelamaan pokok tersebut akan tumbang jua menyembah bumi.

Jika 62 tahun usia kemerdekaan negara dibandingkan dengan umur manusia, tentunya sudah cukup matang mengharungi kehidupan di dunia. Namun, situasi sebenar tidaklah sebegitu.

Masih ramai rakyat yang tidak dapat menterjemahkan maksud cintakan negara dengan sebenar-benarnya. Mereka masih tidak faham bahawa cinta dan kasih pada negara bermakna cinta dan kasih kepada kesemua isi dalam negara termasuklah rakyatnya, harta, Perlembagaan Negara, alam sekitar dan sebagainya bermula dari rumah, sekolah hinggalah kesemua peringkat institusi.

Pada hemat saya, semangat toleransi dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita masih lemah. Jika fenomena boleh makan bersama di restoran, berkongsi padang permainan dan kemudahan awam serta boleh berkongsi pengalaman bersama semasa kecil sudah diklasifikasikan sebagai suatu toleransi adalah begitu dangkal sekali. Hakikatnya, teras toleransi adalah kepercayaan dan penerimaan.

Apa yang nyata, kita masih lagi ada syak dan wasangka antara satu sama lain. Tidak cukup dengan itu, perasaan-prasangka itu diperbesarkan lagi gelombangnya menerusi pertubuhan NGO yang mewakili kaum masing-masing. Jika tidak dibanteras gelombang ini, sudah tentu retak menanti belah sahaja.

Artikel Berkaitan:

Selain daripada mencabar perlembagaan dan undang-undang negara serta tidak menghormati adat dan tatasusila sesuatu kaum, kita juga masih belum ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam menjaga alam sekitar dan kebersihan negara. Mereka yang cintakan negara cukup malu untuk berperangai sebegini.

Namun, inilah hakikat yang perlu kita terima setakat ini. Tindak tanduk mereka seumpama ‘menumpang’ dalam negara yang tercinta ini. Perasaan kasih dan sayang sudah tidak membaluti diri, sedangkan kasih dan cinta inilah yang mengakari negara.

Cukuplah hanya pandai mengibar bendera dan melaungkan kemerdekaan semata-mata. Marilah kita sama-sama teguhkan negara kita dengan cinta dan kasih. Janganlah kita bersatu setelah negara kita merana kerana tangan-tangan kita sendiri. Sesungguhnya ALLAH berfirman, “Telah terlihat kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, ALLAH mahu mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)." (Surah Al-Rum, 30:41)

Masih ramai rakyat yang tidak dapat menterjemahkan maksud cintakan negara dengan sebenar-benarnya."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!