Kalau miskin tidak perlu kata kaya
KERAJAAN berpegang kepada statistik bahawa Malaysia berstatus negara berpendapatan pertengahan tinggi, dengan kadar kemiskinan hanya 0.4 peratus.
Tetapi pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai kemiskinan dan hak asasi manusia, Philip Alston menghujah kadar tersebut adalah tidak realistik. Sebaliknya pegawai PBB itu menyebut kadar kemiskinan benar negara ini ialah 15peratus.
Beberapa orang pakar ekonomi tempatan juga bersetuju bahawa kadar kemiskinan kita adalah jauh lebih tinggi daripada angka sebenar yang disebut dalam statistik.
Maka timbul persoalan apakah kita negara berpendapatan tinggi seperti yang selalu diidamkan atau apakah kita masih bertaraf negara miskin?
SEORANG pakar ekonomi lalu menggesa kerajaan supaya mengubah definisi rasmi kemiskinan bagi menggambarkan status sebenar Malaysia.
Zouhair Rosli daripada firma penyelidikan DM Analytics berkata, Putrajaya patut maklum bahawa kemiskinan adalah relatif kepada keadaan ekonomi umum dalam sesebuah masyarakat pada satu-satu masa.
“Kita tidak bercakap mengenai keadaan di negara paling miskin di dunia, di mana kemudahan air bersih pun hampir tidak ada,” katanya.
Beliau membuat kajian bersama-sama UNICEF dan mendapati tujuh peratus isi rumah di flat kos rendah di Kuala Lumpur hidup dalam kemiskinan, sedangkan statistik rasmi mencatatkan kadar kemiskinan di bandar raya itu adalah kosong peratus.
DALAM hal Kuala Lumpur, angka yang disebut lain, tetapi kenyataan juga membuktikan lain!Semua orang boleh lihat bertambah ramai gelandangan yang lepak dan tidur di kaki lima. Peminta sedekah pun ada di mana-mana.
Itu belum kira lagi beribu-ribu tinggal di kawasan setinggan yang hidup kais pagi makan pagi, anak-anak tidak bersekolah.
Maka adakah masuk akal di KL tidak ada orang miskin?
PAS mencadangkan agar satu kongres kebangsaan dianjurkan untuk meneliti dan merumus resolusi baharu bagi memperincikan pelbagai perkara mengenai isu kemiskinan di negara ini.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kongres berkenaan perlu melibatkan semua pihak tanpa mengira pendirian politik supaya natijahnya lebih objektif.
Ada baiknya angka dan tafsiran mengenai kemiskinan mestilah berlandaskan realiti dan realistik, barulah kita dapat mencari kaedah penyelesaian yang benar dan munasabah.
Jika tidak kita akan terus-terusan berada dalam angan-angan dengan menganggap kita sudah kaya, pada hal hakikatnya kita miskin. Kita tidak boleh syok sendiri, semua mesti berdasarkan fakta.
Kalau miskin kita kena akui miskin, dan rakyat kena menerima itu sebagai hakikat. Kita jangan jadi saudagar mimpi.
SEKIRANYA ikan kembung dijadikan kayu pengukur, rata-rata rakyat biasa kini boleh ditakrifkan miskin, sebab sudah tidak mampu membeli ikan tersebut.
Dulu ikan kembung atau setengah tempat disebut ikan ‘temenung’ adalah makanan rakyat biasa, harga per kilo tidak pernah melebihi RM5.
Kini dengan RM15 hingga RM18 per kilo dan sesetengah tempat di KL harganya RM20 per kilo, kembung sudah dikira elit, bukan semua orang mampu beli.
Ketika semakin ramai mengeluh tidak mampu membeli kembung, ada pula sesetengah CEO syarikat kerajaan (GLC) yang menerima habuan gaji RM250,000 sebulan seperti yang disebut oleh Tan Sri Rais Yatim dan Datuk A Kadir Jasin.
Mungkin SPRM patut menyiasat SOP dan kemungkinan pecah amanah dalam pelantikan CEO sesetengah GLC.
AKHIR kalam, masih mengenai kemiskinan. Ketua Nasional Gabungan Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia, Igun Wicaksono mahu mengadakan demonstrasi di Kedutaan Malaysia di Jakarta, gara-gara Gojek.
Demonstrasi itu bagaimanapun dibatalkan setelah Pengasas Big Blue Taxi Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail memohon maaf atas kenyataan beliau yang menyebut pemandu Gojek di Jakarta adalah miskin.
Baru ura-ura Gojek hendak masuk KL, macam-macam sudah diributkan.
Apakah kita negara berpendapatan tinggi seperti yang selalu diidamkan atau apakah kita masih bertaraf negara miskin?"
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!