Lebih daripada cuma sarapan

A
A
A

SEBENARNYA, kebanyakan daripada apa yang saya akan katakan dalam menyokong program yang sangat baik daripada Dr Maszlee Malik dan kementeriannya, diinspirasikan oleh isteri saya, Norhayati Yusof, seorang bekas guru sekolah kerajaan selama 16 tahun.

Sekarang beliau mengadakan kelas bimbingan bahasa Inggeris dan matematik bagi pelajar-pelajar Melayu yang tinggal berdekatan dengan rumah kami di Kajang.

Keputusan Kementerian Pendidikan untuk menyediakan sarapan percuma untuk semua pelajar adalah program yang bagus dan efektif. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kebimbangan daripada rakyat Malaysia yang berpendirian kritikal yang mana saya akan memberi beberapa input untuk menjawab soalan-soalan mereka.

Daripada isteri saya dan saya, program sarapan untuk semua ini bukan hanya mengenai menyediakan makanan untuk anak-anak kita di sekolah tetapi menyediakan juga ‘makanan’ yang lebih penting untuk jiwa mereka iaitu maruah dan harga diri.

Izinkan saya menulis tentang beberapa fakta yang diserlahkan oleh isteri saya mengenai pengalaman beliau dengan pelajar-pelajar di sekolah dan di kelas bimbingan kami di rumah. Beliau dapati ramai pelajar pergi ke sekolah tanpa sarapan. Satu kategori pelajar-pelajar ini daripada keluarga yang miskin. Saya rasa tersangat sukar untuk memahami apabila keluarga yang miskin tidak dapat menyediakan sekeping roti untuk anak-anak mereka.

Memandangkan anak-anak ini masih pergi ke sekolah menunjukkan bahawa mereka ada makanan di rumah tetapi terdapat perkara-perkara lain yang menghalang mereka daripada mendapat sarapan. Isteri saya telah memberitahu bahawa ramai guru seperti beliau telah menggunakan duit mereka untuk anak-anak ini membeli makanan di kantin sekolah tanpa mengira anak-anak ini anak Melayu, Cina atau India.

Kategori lain bagi anak-anak ini adalah daripada ibu bapa yang ‘sibuk’ di mana mereka cuma beri wang kepada anak-anak dan hantar mereka ke sekolah tanpa sarapan. Saya dan isteri saya telah memastikan bahawa semua anak-anak kami memakan sarapan walaupun terdapat banyak situasi di mana kami terpaksa membungkus roti untuk mereka jikalau kami terlewat menghantar mereka ke sekolah.

Merujuk kepada isu pembaziran makanan oleh beberapa ibu bapa, saya rasa ini boleh diselesaikan dengan mudah dengan anak-anak ini membungkus makanan untuk dimakan semasa rehat. Anak-anak daripada keluarga yang berada tidak harus dikecualikan. Terdapat sebab yang lebih penting yang akan saya beritahu kemudian.

Kebimbangan tentang kontraktor makanan adalah sangat penting. Kami sebagai ibu bapa sedar akan banyak isu keracunan makanan di sekolah-sekolah di negara ini dan kita perlu bertindak akan isu ini. Kontraktor makanan yang didapati menyediakan makanan yang rosak bukan sahaja akan ditamatkan kontrak tetapi akan didenda dan kemungkinan dimasukkan ke dalam penjara.

Pengajaran

Artikel Berkaitan:

Marilah kita sekarang melihat niat mulia yang mungkin bagi program ini. Pertama, Dr Maszlee mahu memastikan bahawa generasi akan datang dapat belajar dengan baik dengan perut yang berisi dan untuk minda berfungsi dengan lebih efektif. Kedua, saya rasa Kementerian Pendidikan sedang cuba untuk mendidik anak dan ibu bapa tentang pemakanan yang sihat.

Pengajaran yang paling penting dalam program sarapan untuk semua ini tiada siapa bangkitkan di media. Ia adalah mengenai maruah dan harga diri. Saya fikir ramai orang akan dapat merasa perasaan rendah diri anak-anak daripada keluarga miskin apabila mereka menggunakan kupon untuk membeli makanan semasa rehat sementara anak-anak lain menggunakan wang mereka. Adalah berbahaya kepada jiwa pembelajaran anak-anak ini apabila mereka ada perasaan rendah diri ini.

Dengan program sarapan untuk semua, semua anak-anak akan dapat maruah dan harga diri yang sama kerana mereka semua berada pada tahap yang sama. Program ini akan juga membantu anak-anak daripada keluarga berada untuk menjadi lebih rendah diri dengan anak-anak daripada keluarga miskin.

Akhir sekali, mungkin program sarapan untuk semua ini boleh mendidik ibu bapa kepada anak-anak ini untuk mengatasi kebencian kaum dan agama dan juga ketidakpercayaan dengan satu tindakan yang mudah iaitu menyediakan makanan yang sama untuk dimakan dan menyerapkan maruah dan harga diri yang baik kepada jiwa semua anak-anak kita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!