Pegawai SPRM pimpin lafaz ikrar Rukun Negara, laungan merdeka

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Segak dalam uniform biru gelapnya, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zuhairie Abu Bakar, hari ini memimpin hadirin di Dataran Putrajaya di sini dengan melafazkan ikrar Rukun Negara.

Usai melafazkan prinsip kelima Rukun Negara, ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ diikuti paluan drum, vokal lantang Zuhairie melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali, mengimbau laungan Bapa Kemerdekaan negara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka.

Zuhairie, 42, berkata warga SPRM diberikan mandat membaca ikrar pada Hari Kebangsaan tahun ini oleh Kementerian Pendidikan, yang merupakan jawatankuasa penyelaras sambutan, seiring dengan tema Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

“Maksud bersih bukan sahaja dari segi bebas rasuah sahaja, tetapi Malaysia harus lebih dikenali sebagai negara berintegriti, kepatuhan terhadap Perlembagaan Persekutuan, bebas dari jenayah, bebas dari unsur provokasi kaum dan lain-lain,” katanya kepada Bernama.

Menurut Zuhairie, beliau dicalonkan sebagai pembaca ikrar oleh pengurusan tertinggi SPRM untuk sesi uji bakat kerana beliau mempunyai pengalaman sebagai pegawai baris SPRM bagi anggota yang menamatkan latihan.

“Perasaan bangga itu memang ada, antara 32 juta rakyat saya orang bertuah terpilih baca ikrar dan ketika melaungkan kata keramat merdeka, perasaan patriotik itu hanya saya yang faham," kata Zuhairie yang berkhidmat dengan SPRM sejak 1999. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!