Lelaki ditemukan mati dalam kereta

Seorang lelaki ditemukan mati di dalam kereta jenis Proton Saga warna putih yang berkunci. Gambar kecil: Noor Azmi
Seorang lelaki ditemukan mati di dalam kereta jenis Proton Saga warna putih yang berkunci. Gambar kecil: Noor Azmi
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki ditemukan mati dalam keretanya di Jalan Cempaka 14 di sini semalam.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian daripada orang awam pada jam 6.25 petang sebelum ke lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati seorang lelaki dipercayai telah mati di dalam kereta jenis Proton Saga warna putih yang berkunci.

"Mangsa yang berusia 48 tahun itu lengkap berpakaian duduk di bahagian pemandu dengan keadaan enjin kereta masih hidup dan berkunci dari dalam.

"Pemeriksaan lanjut mendapati tingkap bahagian belakang sebelah kiri tidak ditutup rapat dan diselit dengan kain hitam manakala bahagian luar terdapat getah paip berukuran 1.7 meter yang disyaki dimasukkan ke dalam lubang ekzos ke bahagian tingkap tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, turut ditemui dompet mangsa yang mengandungi lesen memandu, kad bank dan sedikit wang tunai serta telefon bimbit jenama Iphone 6S.

Katanya, tiada sebarang kecederaan lain pada mangsa dikesan.

"Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!