Persembahan formasi manusia memori sepanjang zaman
PUTRAJAYA - Persembahan formasi manusia yang memukau pada Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya, dijayakan oleh 2,120 pelajar sekolah yang telah berembun, berpanas dan berhujan kira-kira sebulan.
Mereka yang terdiri daripada pelajar dari 53 sekolah menengah kebangsaan (SMK) sekitar Selangor berkorban masa dan tenaga berganding bahu untuk menghasilkan koordinasi persembahan senada menggunakan pelbagai aparatus seperti kad, kain dan bendera.
Penolong Pengarah Kokurikulum Jabatan Pendidikan Selangor, Sazali Baharudin berkata, latihan persembahan formasi manusia itu bermula 29 Julai lepas, mengambil masa kira-kira sebulan berbanding 40 hari latihan kebiasaan.
“Apa yang rakyat lihat itu adalah hasil komitmen sebulan para pelajar dan pasukan besar kami.
“Mereka terpaksa korbankan waktu pembelajaran bagi tempoh agak lama, dan berasa penat berlatih di bawah terik matahari, namun apa yang luar biasanya adalah pengalaman yang mereka lalui. Bukan semua yang dapat merasainya,” katanya kepada Bernama.
Pasukan formasi manusia itu juga adalah yang pertama berada di Dataran Putrajaya dan yang terakhir keluar dari kawasan tersebut.
Antara pelajar sekolah yang terlibat dalam persembahan itu ialah daripada SMK Seri Gombak, Batu Caves; SMK Dato’ Harun, Tanjung Karang; SMK Jalan Bukit, Kajang; SMK Shahbandaraya dan SMK Meru, Klang.
Sazali berkata penyertaan para pelajar adalah secara sukarela dan mereka dikehendaki mendapatkan kebenaran ibu bapa terlebih dahulu.
“Kami juga tidak menggalakkan pelajar sama mengambil bahagian saban tahun, ini bagi membuka peluang bagi pelajar lain untuk mempunyai memori merdeka yang akan sentiasa diingati,” katanya.
M. Vasugi, 14, pelajar SMK Jalan Bukit yang menyertai persembahan itu berkata dia begitu teruja untuk menyertai pasukan besar itu apabila dimaklumkan oleh guru sekolahnya mengenai acara itu.
“Saya sangat bangga kerana menjadi sebahagian daripada pasukan ini, terima kasih kepada guru dan ibu bapa kerana memberi peluang sekali seumur hidup ini,” katanya.
Muhammad Hazim Danish Kamaruddin,16, dari sekolah sama berkata biarpun penat, ia tidak dirasai kerana bangga menjadi sebahagian daripada sejarahnya, selain dapat menanam nilai patriotisme. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!