Anggap pengorbanan jika tidak lagi terima manfaat IPR: Amirudin

 Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari meminta rakyat yang tidak lagi menerima bantuan selepas penyelarasan semula manfaat Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) menganggap ia sebagai pengorbanan kepada mereka yang lebih memerlukan.

Menurutnya, penyelarasan semula itu dibuat bukan untuk menghapuskan bantuan tersebut, sebaliknya diagihkan kepada mereka yang lebih berhak.

Katanya, dengan kerjasama kerajaan Persekutuan, beberapa bantuan yang sebelum ini bertindih telah diselaraskan supaya penerima yang layak mendapat manfaat dengan jumlah sepadan dengan keadaannya.

“Pentadbiran kerajaan negeri bukan mahu menafikan hasil negeri untuk rakyat, namun mahu bantuan terarah yang membantu sesiapa sahaja tanpa mengira latar sosioekonomi. Tiada yang terlebih mahupun terkurang, setiap orang mendapat secukupnya.

“Rakyat Selangor yang akan terkesan dengan penyelarasan semula ini berkorbanlah kerana peruntukan untuk anda bukan dihapuskan, sebaliknya dialihkan kepada yang lebih berhak.

“Pengorbanan anda bermakna orang lain yang lebih memerlukan mendapat lebihan manfaat daripada hasil negeri,” tulisnya menerusi kenyataan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 dimuat naik dalam akaun Facebooknya malam tadi.

Amirudin berkata, tidak bertanggungjawab jika kerajaan negeri di bawah pentadbirannya menghabiskan semua hasil untuk rakyat ketika ini tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Menurutnya, lebih tidak bertanggungjawab sekiranya rakyat yang sama mendapat faedah dinikmati selama ini walaupun mungkin tidak layak lagi menerimanya.

Artikel Berkaitan:

“Berkorbanlah hari ini supaya anak cucu kita bakal mendapat keselesaan.

“Ayuh kita hayati konsep pengorbanan sempena Hari Kemerdekaan ke-62. Semoga dengan pengorbanan dan sedikit keberanian, kita dapat mengubah Malaysia menjadi lebih baik,” tulisnya lagi.

April lalu, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan penjajaran semula IPR dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan negeri.

Amirudin berkata, penjajaran semula itu membabitkan tiga program iaitu Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Peduli Sihat (SPS) dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

IPR adalah inisiatif berbentuk kebajikan yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak 2008 untuk membantu rakyat Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!