'Semua tinggal kenangan'
KUANTAN - Semua barang peninggalan nenek moyang berusia lebih 100 tahun musnah dalam kebakaran di pekan Sungai Lembing, awal pagi tadi.
Von Shu Tak, 78, berkata, rumah pusaka milik keluarganya itu mempunyai banyak kenangan yang mungkin tidak dapat dicari ganti.
“Saya menangis dalam hati bila barang-barang keluarga semua terbakar pagi tadi.
“Banyak kenangan yang ada dalam rumah itu, semua hanya tinggal kenangan,” katanya sebak.
Shu Tak berkata, sewaktu kejadian dia berada di rumah anaknya di Kuantan dan baru sahaja meninggalkan rumah pusaka itu pada Rabu lalu.
Jelasnya, dia terkejut sebaik sahaja menerima berita mengenai kebakaran itu awal pagi tadi.
“Saya tergamam bila lihat video yang dihantar dan segera pulang ke sini (rumah),” katanya.
Sementara itu, Fong Oi Kuan, 87, berkata, dia pasrah dengan tragedi tersebut dan menerima ketentuan ini dengan hati terbuka.
Menurutnya, walaupun tiada barangan yang dapat diselamatkan dalam rumah peninggalan keluarganya itu, namun dia bersyukur kerana terselamat.
“Saya terkejut dengan apa yang berlaku. Semuanya telah musnah dan hanya jadi kenangan untuk saya kenang.
“Tragedi ini Tuhan punya kuasa dan saya terima dengan hati yang reda,” katanya.
Ditanya mengenai anggaran kerugian dialaminya, Oi Kun berkata, rumahnya 100 peratus terbakar dan tidak dapat menilai jumlah kerugian dialaminya.
Dalam pada itu, Oi Kuan berharap semua mangsa termasuk dirinya tabah menghadapi ujian ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua mangsa terperangkap dalam kebakaran 31 premis
Seorang mangsa kebakaran ditemukan rentung
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!