Ibu tunggal anak tiga antara ditangkap basah
JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal beranak tiga antara 13 pasangan yang ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam serbuan di beberapa hotel dan rumah urut sekitar bandar raya ini semalam.
Wanita berusia 29 tahun berkenaan ditangkap bersekedudukan bersama seorang lelaki warganegara Nepal di bilik sebuah hotel dalam operasi bermula dari jam 10.30 malam hingga 3 pagi itu.
Ketika ditahan, wanita berkenaan turut memberikan alasan sedang berkawan dengan lelaki beragama Hindu itu selepas selesai proses penceraian bersama bekas suaminya Jun lalu.
“Sekarang sedang kenal-kenal, kami sudah berkenalan sejak setahun lalu kerana bekerja di tempat yang sama.
"Tak tahu sekarang saya tunggu dulu (sama ada mahu kahwin atau tidak dengan lelaki itu),” katanya kepada penguat kuasa.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ, Halid Sono berkata, selain di Johor Bahru, pihaknya juga bertindak menahan 16 lagi pasangan dalam operasi berasingan di daerah lain.
"Penahanan membabitkan individu termasuk beberapa warga asing beragama Islam berusia dalam lingkungan 18 hingga 45 tahun.
"Seramai 26 orang ditahan di Johor Bahru, enam orang masing-masing di Batu Pahat, Kulai dan Muar, dua orang di Kluang, Segamat dan Mersing serta empat orang di Kota Tinggi," katanya.
Menurutnya, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 27(1)a dan Seksyen 27(1)b Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
"Untuk Pontian dan Tangkak pula kita dimaklumkan terdapat lapan individu yang diberikan saman untuk hadir kaunseling," katanya.
Beliau berkata, operasi itu dijalankan bukan untuk mengaibkan sesiapa, sebaliknya bertujuan menegah daripada melakukan kesalahan yang bercanggah dengan hukum Islam.
"Kegembiraan sewajarnya disalurkan dengan cara yang tidak bercanggah dengan undang-undang itu sendiri.
"Kita menahan warga asing juga kerana selagi mana mereka Islam, mereka tertakluk dengan undang-undang kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!