Isteri cedera dilanggar suami sendiri
MIRI - Seorang wanita dikejarkan ke Hospital Miri akibat kecederaan pada pinggang gara-gara dilanggar suami sendiri di Kampung Wireless Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, ketika kejadian jam 10.30 malam, suri rumah berusia 53 tahun itu baru balik dari masjid bersama rakan apabila tiba-tiba terlihat suaminya di dalam kereta bersama dengan seorang wanita di tepi jalan.
"Mangsa berjalan menghampiri kereta suaminya yang berusia 50 tahun dengan tujuan meminta wang untuk membeli ubat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, suami mangsa tiba-tiba memecut kereta lalu terus melanggar mangsa sehingga mengakibatkan wanita itu tercampak ke tepi jalan dan mengalami kecederaan pinggang.
"Suspek yang berasal dari Kampung Lutong, Miri telah berkahwin dengan mangsa selama 30 tahun dan mempunyai lapan anak," katanya.
Beliau berkata suspek sudah dikenal pasti dan sedang diburu. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaaan iaitu cubaan membunuh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!