Bot terbalik: Budak perempuan hilang dipercayai lemas
KUALA KRAI - [DIKEMASKINI] Seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun hilang dikhuatiri lemas selepas bot galah dinaiki terbalik berhampiran Jeti Pasir Linggi petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Ismaniza Atira Ismail,10, bersama enam ahli keluarganya terdiri daripada dua dewasa dan lima kanak-kanak menyusuri Sungai Kelantan untuk pulang ke rumah mereka setelah menghadiri kenduri di Kuala Krai.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai,Pegawai Bomba Kanan II Che Razak Harun berkata, bagaimanapun secara tiba-tiba bot dinaiki mangsa terbalik.
"Bomba terima panggilan kecemasan pada jam 6.15 petang semalam. Kita dimaklumkan kesemua mangsa berjaya diselamatkan bapa saudaranya dan ada yang sempat berpaut pada buluh kecuali mangsa.
"Operasi bermula semalam dan kemudiannya dihentikan seketika sebelum disambung pada jam 8 pagi ini," katanya.
Beliau berkata, 10 anggota dari unit scuba membuat selaman sekitar kawasan mangsa dilaporkan hilang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!