Srikandi Bersatu sasar 200,000 keahlian baru
PUTRAJAYA - Srikandi Bersatu mensasarkan pertambahan keahlian kepada 200,000 orang menjelang hujung tahun 2019.
Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun berkata, jumlah berkenaan adalah tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan sokongan rakyat terhadap Bersatu sekarang ini.
"Sekarang dah mencecah 20,000 ahli dan saya cabar semua agar keahlian dapat ditambah kepada 200,000 menjelang hujung 2019, dalam tempoh setahun.
"Saya pasti jika kita semua bersatu, kita sekata, kita dapat laksanakan program dengan baik, menunaikan janji dengan masyarakat Insya-ALLAH kita akan diberi kepercayaan dan bilangan ahli akan bertambah dari masa ke semasa," katanya dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Bersatu di sini hari ini.
Rina berkata, parti perlukan keahlian yang ramai untuk gerak kerja Srikandi yang lebih bersepadu.
"Jadi sebab itulah kita perlukan keahlian yang lebih ramai untuk bersama-sama dengan kita supaya kita dapat meningkatkan lagi produktiviti kita
"Kalau dulu, kita mempunyai masa yang suntuk (kerja untuk PRU14), tapi sekarang untuk PRU15 kita kena kerja dari sekarang," katanya.
Rina menambah, rakyat Malaysia ada harapan yang menggunung terhadap parti itu dan mudah-mudahanmereka yang juga sebagai ahli Srikandi terus meningkatkan diri dalam khidmat untuk masyarakat.
"Terus menjadi wadah perjuangan masyarakat khususnya golongan wanita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!