Impian lahir bayi 31 Ogos jadi kenyataan

Empat daripada 16 bayi merdeka yang selamat dilahirkan di Hospital Melaka.
Empat daripada 16 bayi merdeka yang selamat dilahirkan di Hospital Melaka.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Impian sepasang suami isteri untuk memiliki cahaya mata yang lahir pada 31 Ogos menjadi kenyataan apabila bayi lelaki mereka lahir pada jam 5.33 pagi tadi.

Norasliza Jamaludin, 29, berkata, mengikut jangkaan anak sulungnya bakal dilahirkan esok, namun sejak semalam dia mula berasa sakit sebelum suaminya Mokhtar Salamat, 33, membawa ke hospital.

Menurutnya, dia bersyukur bayi yang akan dinamakan Muhammad Arif itu dilahirkan pada tarikh keramat yang begitu bermakna dan penting pada negara.

"Dulu masa kecil-kecil saya seronok lihat orang yang berkongsi tarikh lahir pada 31 Ogos dan mereka keluar TV. Betapa bangganya dilahirkan pada hari itu.

"Tak sangka kini anak sendiri dan anak pertama saya berkongsi tarikh itu, memang saya gembira dan saya anggap rezeki bila ALLAH makbulkan impian kami," katanya yang ditemui pada program Bayi Merdeka sempena Hari Kebangsaan ke-62 yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari di Hospital Melaka, Bukit Baru hari ini.

Adly bersama isterinya, Dalilah Awaludin ketika melawat bayi lelaki pasangan Norasliza dan Mokhtar di Hospital Melaka, Bukit Baru hari ini.
Adly bersama isterinya, Dalilah Awaludin ketika melawat bayi lelaki pasangan Norasliza dan Mokhtar di Hospital Melaka, Bukit Baru hari ini.

Bagi Fariza Abdul Ghaffar, 26, dia gembira apabila anak pertamanya bukan sahaja lahir pada 31 Ogos, malah menjadi bayi pertama yang dilahirkan di hospital tersebut pada tarikh keramat itu iaitu pada jam 12.36 pagi.

Menurutnya, mengikut perancangan doktor, dia akan melahirkan bayi perempuan pada 9 September ini namun sejak semalam sudah mula berasa sakit sebelum melahirkan bayi seberat 2.35 kilogram.

Artikel Berkaitan:

"Tak pernah pun terfikir dapat melahirkan anak pada tarikh ini dan ia satu yang indah kerana 31 Ogos adalah tarikh kita mencapai kemerdekaan," katanya.

Sementara itu, Adly berkata, seramai 16 bayi selamat dilahirkan di Hospital Melaka setakat jam 1.30 petang tadi yang mana 10 daripadanya adalah bayi lelaki.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!