200 penduduk terjejas gara-gara musang king

Abd Nasir (tengah) meninjau lokasi timbunan pasir bukit di kawasan kampung penduduk
Abd Nasir (tengah) meninjau lokasi timbunan pasir bukit di kawasan kampung penduduk
A
A
A

BALING - Kira-kira 200 penduduk Kampung Sineyek dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu menerima kesan buruk akibat projek musang king dijalankan di Gunung Inas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris berkata, kerja-kerja penarahan bukit dan penebangan pokok menyebabkan banjir dari tapak projek membawa hakisan pasir dan lumpur ke kawasan penduduk setiap kali hujan lebat.

Menurutnya, projek berkenaan dijalankan hasil usaha sama dua buah syarikat di atas Gunung Inas itu bermula Januari 2018.

"Masalah itu menyebabkan parit di kawasan penduduk serta kawasan tanaman mereka tertimbus. Sebanyak 19 lot tanah bergeran telah terjejas akibat masalah ini.

"Dalam keadaan serba susah, penduduk terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit. Pihak berkenaan membina kekayaan atas kesusahan orang kampung," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pusat Tarbiah Islam Kuala Ketil (Putik) hari ini.

Abd Nasir turut melahirkan kebimbangan terhadap situasi itu yang dijangka bertambah parah pada musim tengkujuh.

Pasir dari bukit mengalir masuk ke kawasan penduduk baru-baru ini selepas hujan lebat.
Pasir dari bukit mengalir masuk ke kawasan penduduk baru-baru ini selepas hujan lebat.

Katanya, keadaan itu memungkinkan kampung penduduk ditenggelami pasir dan lumpur dari bukit sekiranya tiada tindakan baik pulih dilakukan segera.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah turun padang semalam. Apa yang saya lihat, masalah ini semakin serius yang bukan saja menjejaskan tanaman tetapi jika tidak ditangani akan menjejaskan penempatan dan nyawa penduduk.

"Kita bimbang dengan hujan lebat berterusan, kita tak tahu malapetaka apa akan menimpa penduduk," katanya.

Abd Nasir berkata, masalah berkenaan tidak akan berlaku sekiranya pihak berkenaan melakukan kajian kesan projek kepada penduduk terlebih dahulu.

Tegasnya, pihak syarikat dituntut menguruskan aliran air dari tapak projek atas bukit dengan sempurna tanpa menjelaskan penempatan penduduk.

"Pihak Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta turun pandang melihat sendiri situasi ini. Pihak syarikat pula jangan sesekali lepas tangan," katanya.

Sementara itu, aliran pasir bukit meruntuhkan tebing parit yang berhampiran rumah penduduk, kebun dan kawasan ternakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!