Bayi kongsi tarikh keramat dengan nenek
KUANTAN - Seorang nenek tidak menyangka akan berkongsi tarikh keramat 31 Ogos dan menyambut hari lahir bersama cucunya yang baru sahaja dilahirkan hari ini.
Jamaliah Baharom, 67, berkata, sudah menjadi hasratnya sebelum ini yang mahukan sekurang-kurangnya seorang cucu memiliki tarikh lahir sama sepertinya iaitu pada Hari Kebangsaan.
"Tok memang tunggu untuk dapat cucu yang punya sama tarikh lahir dengan tok. Alhamdulillah, akhirnya selepas 14 cucu tok ada, dapat juga tok cucu sama tarikh dengan tok.
"Tok terharu dan bersyukur kepada ALLAH. Kalau umur panjang dapatlah tok sambut hari jadi sama-sama dengan cucu setiap tahun," katanya kepada media selepas dihubungi di sini hari ini.
Kegembiraan itu turut dikongsi oleh anak Jamaliah, Rahim Awang, 36 dan isterinya, Habshah Jelani, 32, apabila menerima kehadiran anak kelima mereka yang lahir hari ini.
"Saya dan suami gembira bila anak kelima kami ini dilahirkan pada tarikh sambutan kemerdekaan dan perkara ini kami tak jangka langsung.
“Saya sepatutnya melahirkan seminggu lebih awal lalu namun perancangan ALLAH mengatasi segala-galanya apabila dia dilahirkan 6.15 pagi tadi dengan berat 2.95kg,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Hasliza Md Saman, 37, berkata, dia bersyukur kerana melahirkan bayi lelaki yang mencapai berat sehingga 4.4 kg.
"Ini kali pertama saya lahirkan anak yang berat sampai 4.4 kilogram, sebelum ini empat orang anak yang lain pun tak capai berat macam ni.
"Saya dah jangka anak saya sememangnya akan lahir pada hari ini. Sebab keempat-empat anak saya sebelum ini lahir mengikut tarikh yang ditetapkan, tak kurang dan tak lebih, tepat pada masanya," katanya kepada media ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sini hari ini.
Sementara itu, bagi Siti Zaimah Muhammad Sabri @ Fauzi, 30, yang menetap di Felda Bukit Goh berkata, dia bercadang untuk memberikan nama Hussein sempena Bapa Perpaduan Malaysia, Tun Hussein Onn.
"Nama Hussein ini saya minat nak letak sebab selain namanya yang klasik, ia juga merupakan nama tokoh kita yang merupakan Perdana Menteri ketiga Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, seramai 22 bayi merdeka dilahirkan di HTAA sehingga jam 1.05 petang hari ini dengan jumlah bayi perempuan seramai 12 orang dan 10 orang bayi lelaki dengan bayi pertama dilahirkan ialah bayi lelaki pada 12.19 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!