Ratifikasi Konvensyen PBB mengenai Status Pelarian 1951

Suhakam
Suhakam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyeru agar kerajaan meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Status Pelarian 1951.

Suhakam dalam satu kenyataan berkata, undang-undang itu bukan sahaja bagi menetapkan standard minimum dan peraturan berkaitan status, layanan dan penentuan terhadap pelarian supaya mereka dapat hidup dan bekerja di Malaysia tanpa penganiayaan, tetapi juga untuk memberi komitmen terhadap prinsip 'non-refoulment' yang diperuntukkan oleh Perkara 33(1) konvensyen tersebut.

"Sementara kita membincangkan ratifikasi konvensyen mengenai pelarian tersebut, prinsip keadilan menuntut agar suatu tindakan politik dilakukan bagi memastikan pematuhan terhadap prinsip non-refoulement," katanya.

Suhakam mencadangkan perkara itu kerana bimbang dengan pengusiran sekeluarga pencari suaka warganegara Turki walaupun mereka telah dikategorikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) sebagai orang yang dilindungi dan berisiko terhadap ancaman sekiranya mereka dipaksa kembali ke negara asal di mana ia merupakan pelanggaran terhadap prinsip non-refoulement.

"Di bawah Seksyen 8 Akta Ekstradisi 1992, terdapat beberapa larangan terhadap ekstradisi dalam beberapa keadaan. Ini termasuk sekiranya waran pemulangannya telah dibuat dengan tujuan untuk membicarakan atau menghukumnya rasnya, agamanya, kerakyatannya atau fahaman politiknya.

"Mereka yang mencari suaka terutamanya yang datang ke Malaysia, di mana status pelarian tidak diiktiraf mempunyai ruang perlindungan yang terhad. Pencari suaka, pelarian dan orang tidak bernegara di Malaysia hidup dalam keadaan yang terdedah kepada penganiayaan, dan ini diburukkan lagi dengan dasar-dasar yang menyekat dan mengehadkan akses kepada perlindungan suaka," katanya.

Dalam pada itu, Suhakam berharap agar kerajaan memenuhi harapan rakyat untuk mewujudkan suatu negara yang penuh belas kasihan dan berasaskan keadilan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!