Sultan Muhammad V berkenan hadir Majlis Sambutan Hijratul Rasul

Sultan Muhammad V (kiri) mengaminkan doa awal tahun 1441 Hijriah yang dibacakan oleh Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad sempena Majlis Bacaan Doa Sempena Akhir Tahun 1440 Hijriah dan Awal Tahun 1441 Hijriah. -Foto BERNAMA
Sultan Muhammad V (kiri) mengaminkan doa awal tahun 1441 Hijriah yang dibacakan oleh Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad sempena Majlis Bacaan Doa Sempena Akhir Tahun 1440 Hijriah dan Awal Tahun 1441 Hijriah. -Foto BERNAMA
A
A
A

TUMPAT - Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Doa Sempena Akhir Tahun 1440 Hijrah dan Awal Tahun 1441 Hijrah serta Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1441 Hijrah/2019 Masihi di Masjid Al-Ismaili Pasir Pekan di sini, malam ini.

Baginda yang tiba kira-kira pukul 6.50 petang diiringi Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan barisan Exco.

Sultan Muhammad V yang memakai persalinan jubah coklat muda turut berkenan untuk mengaminkan bacaan doa akhir dan awal tahun oleh Mohamad Shukri.

Baginda juga berkenan meluangkan masa untuk solat Maghrib dan Isyak yang diimamkan oleh Imam Tua Masjid Al-Ismaili Datuk Baharuddin Abdullah bersama ribuan rakyat yang hadir.

Baginda turut berkenan mendengar kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Mohamad Shukri dan menyampaikan beberapa anugerah sempena majlis sambutan berkenaan.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri di sini.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada 6.45 petang disambut Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun 1440 Hijrah dan doa awal tahun 1441 Hijrah diikuti solat Maghrib dan Isyak diimamkan Imam Besar Masjid Negeri Dr Muhammad Yusry Mazlan.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, Allahyarham Sheikh Jamaluddin Idris Al-Linggi yang meninggal dunia pada 1887 pada usia 73 tahun diumumkan penerima Anugerah Tokoh Ulama Silam.

Allahyarham menerima sijil, cenderahati dan wang tunai RM3,000 (untuk bacaan tahlil). Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan Datuk Abu Ubaidah Redza

menerima hadiah tersebut bagi pihak Allahyarham.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar, 51, diumumkan penerima Aungerah Korporat.

Beliau yang merupakan seorang anak peneroka Felda yang dibesarkan di Felda Pasir Besar, Gemas menerima sijil, cenderahati dan wang tunai RM5,000 dan hadiah disampaikan oleh Tuanku Muhriz.

Di PULAU PINANG, Pakar Perunding Pembedahan Jantung dan Paru-Paru Hospital Pulau Pinang (HPP) Datuk Dr Basheer Ahmad Abdul Kareem dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat Pulau Pinang.

Beliau menerima wang tunai RM8,000, trofi serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada majlis yang diadakan di Masjid Abdullah Fahim di Kepala Batas.

Hadir sama isteri Abdul Rahman, Toh Puan Majimor Shariff, Timbalan Ketua Menteri I yang juga Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (Agama) negeri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus.

Di SELANGOR, Bekas Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, diumum sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Selangor.

Beliau menerima hadiah wang tunai RM20,000, trofi Maal Hijrah, sijil penghargaan, sepersalinan pakaian serta pakej mengerjakan umrah yang disampaikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid Negeri, di Shah Alam.

Sementara itu, Pembantu Hal Ehwal Islam di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Rosly Mohd Arus, 52, menerima anugerah Tokoh Saudara Kita sebagai menghargai sumbangannya yang telah mengislamkan lebih 40 saudara baharu selain menguruskan pengislaman dan kebajikan mereka.

Tokoh Aktivis Masyarakat pula diberikan kepada Pakar Perunding dan Pensyarah Perubatan KPJ Damansara Specialist Hospital, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus atas jasanya menyertai pelbagai misi kemanusiaan antaranya Syria, Sri Lanka dan Iran.

Pasangan Damanuri Rajali, 78, dan Siti Hasnah Muhd Dasuki, 62, menerima anugerah Tokoh Keluarga Mithali atas kejayaan mereka mendidik 10 anak dengan pendidikan Islam selain berjaya menjawat jawatan penting dalam sektor kerajaan dan swasta.

Kesemua mereka masing-masing menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, trofi Maal Hijrah serta pakej mengerjakan umrah.

Yayasan Pendidikan Al-Quran Bagi Anak Istimewa pula dipilih menerima Anugerah Pertubuhan dan Badan Dakwah Sukarela dan membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil penghargaan dan trofi Maal Hijrah.

Di SABAH, Muhammad Iyen Atim, seorang pendakwah yang bergiat aktif menyebarkan syiar Islam di negeri ini sejak 1974 menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah negeri Sabah.

Muhammad Iyen, 89, yang pernah bertugas di Majlis Ugama Islam Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah itu membawa pulang wang tunai RM20,000, seutas jam tangan dan sijil penghargaan.

Anugerah disampaikan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada majlis yang diadakan di Masjid Negeri, Kota Kinabalu.

Terdahulu, Juhar menghadiri majlis kesyukuran sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Sabah yang dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan solat Maghrib, bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat serta solat Isyak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!