Bina dua masjid di tanah sendiri

Tokoh Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan Muhammad Yunan Mohamood, 74, menunjukkan plak anugerah yang dikurniakan oleh Sultan Kelantan. - Foto BERNAMA
Tokoh Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan Muhammad Yunan Mohamood, 74, menunjukkan plak anugerah yang dikurniakan oleh Sultan Kelantan. - Foto BERNAMA
A
A
A

TUMPAT - Membina dua masjid di atas tanah sendiri merupakan antara sumbangan oleh Tokoh Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1441 Hijrah/ 2019 Masihi, Muhammad Yunan Mohamood, 74 (ulang: Muhammad Yunan Mohamood).

Bekas Pengetua Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu itu berkata sumbangan itu bagi membantu masyarakat terutama golongan warga emas untuk ke masjid bagi solat berjemaah.

"Sebuah masjid mampu memuatkan kira-kira 100 jemaah pada satu-satu masa. Walaupun ia bukan untuk solat Jumaat dan untuk beriktikaf sahaja, saya harap ia mampu menghidupkan (semangat) masyarakat untuk ke rumah Allah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menerima anugerah berkenaan daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sempena Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun 1440 Hijrah dan Awal Tahun 1441 Hijrah serta Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1441 Hijrah/ 2019 Masihi di Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan di sini, malam ini.

Hadir sama Tengku Temenggong Kelantan yang juga Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul

Aziz, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Datuk Nazran Muhammad dan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Bapa kepada empat orang anak itu membawa pulang wang tunai RM10,000, plak dan sijil penghargaan.

Anak kelahiran Tawang, Bachok itu membina masjid pertama pada 2005 di atas tanah miliknya sendiri secara bergotong-royong di Mukim Pauh Sembilan, Bachok.

Artikel Berkaitan:

Pada 2012, beliau mendirikan sebuah lagi masjid di atas tanah milik isterinya yang terletak di Jalan Bayam, Kota Bharu.

Muhammad Yunan turut dianugerahkan Anugerah Tokoh Bapa Mithali Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama (1427 Hijrah/ 2007 Masihi), Anugerah Tokoh Pendidik ke-23 oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK), Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Perdana Perpaduan Peringkat Negeri Kelantan (1434 Hijrah/ 2013 Masihi) dan Anugerah Jasa Terbilang Rukun

Tetangga Peringkat Kebangsaan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) pada 2005.

Atas jasa-jasa itu, beliau dianugerahkan Bintang Seri Kelantan dan Bintang Seri Mahkota Kelantan oleh Istana Kelantan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!