Kisah lapan askar Melayu bertempur dengan 26 musuh
BALING - Kisah lapan askar Malaysia bertempur dengan lebih 20 askar Thailand suatu ketika dahulu mungkin jarang didengari ramai.
Dalam pelbagai operasi yang disertai, peristiwa bertempur dengan tentera negara jiran itu antara yang mengusik emosi seorang veteran Askar Melayu yang terlibat dalam pertempuran berkenaan.
Asalnya ia operasi mengawal sempadan daripada ancaman komunis, namun bertukar ngeri apabila lapan anggota tentera Malaysia diserang askar Thailand!
Pengalaman menakutkan itu dikongsi Abdul Kadir Saad, 66, dari Kampung Parit Panjang di sini.
Abdul Kadir berkata, pasukan seramai lapan orang ketika itu ditugaskan di Lepang Nenering, Perak bersempadan dengan Thailand pada tahun 1976.
"Pada waktu pagi itu pasukan kami tiba-tiba diserang dari arah sempadan Thailand. Satu tembakan pelancar roket disasarkan ke arah kami.
"Serangan itu disusuli dengan tembak-menembak oleh kedua-dua pihak selama 15 minit. Namun pihak musuh tiba-tiba memberhentikan tembakan," katanya.
Menurutnya, serangan hebat di antara kedua-dua pasukan itu mencederakan salah seorang rakan seperjuangan.
"Akibat kejadian itu, Prabet Zakaria lumpuh sebelah tangannya," katanya.
Abdul Kadir berkata, mereka hanya mengetahui 26 pihak musuh disangka komunis mati selepas kerajaan Thailand membuat pengecaman mayat sehari selepas kejadian.
"Rupanya-rupanya kami bertempur dengan askar Thailand. Dua daripada 26 jumlah askar terkorban itu disahkan sebagai komunis.
"Berdasarkan kejadian itu, kami yakin pengaruh komunis ada dalam askar Thailand. Mereka melindungi komunis," katanya.
Dia berkata, serangan terbabit dilakukan apabila askar Thailand dikatakan tersalah sasaran.
"Mereka sangkakan kami gerila Islam dari selatan Thailand kerana warna celoreng kedua-dua pasukan yang hampir serupa," katanya.
Ayah kepada empat anak yang kini berkerusi roda akibat sakit itu yakin jumlah askar Thailand terlibat dalam pertempuran melebihi 26 orang.
"Mungkin ada beberapa orang lagi yang berjaya melarikan diri. Selepas peristiwa itu, penuh askar Thailand bersama kereta kebal diletakkan di sempadan Malaysia -Thailand (Kroh, Perak).
"Seminggu juga askar-askar negara jiran diletakkan di kawasan itu. Situasi ketika itu agak tegang," katanya.
Abdul Kadir berkata, ramai kawan-kawannya terkorban dibunuh komunis pada tahun 1975.
"Dalam operasi itu, sepasukan askar kita dalam perjalanan dari Perak ke Baling. Apabila tiba di Kampung Padang Tamat, Perak pasukan tentera diserang hendap pasukan komunis.
"Salah satu kereta kebal dinaiki enam kawan-kawan saya semuanya meninggal dunia dalam serangan itu. Ketika itu, saya sedang bertugas di kem di Kroh, Perak," katanya sambil mengalirkan air mata.
Abdul Kadir yang masih menanggung seorang anak OKU berusia 22 tahun berkata, generasi hari ini perlu mempertahankan dan tidak mempersiakan kemerdekaan tanah air yang dikecapi hasil perjuangan nenek moyang terdahulu.
Sumbangan kepada Abdul Kadir boleh dibuat menerusi Bank Simpanan Nasional di nombor akaun 02126-29-00007596-9.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!