Puma untuk wanita aktif, trendy

A
A
A

WAJAH penyanyi dan pelakon muda popular antarabangsa, Selena Gomez sekali lagi menghiasi kempen Puma sempena musim panas 2019.

Pemilihan selebriti berusia 27 tahun itu disifatkan selari dengan inisiatif jenama sukan tersebut yang sentiasa komited dalam menawarkan koleksi produk istimewa buat golongan muda remaja.

Terbaharu, Puma melancarkan koleksi kasut sneaker Cali Remix ideal digayakan para wanita yang meminati konsep fesyen kasual, trendy dan sporty ala gaya hidup di California pada era 80-an.

Sepatu sukan itu menyuntik stail yang lebih segar apabila hadir dalam kombinasi rona putih, biru firus (turquoise), hitam dan merah ros.

Biarpun mengekalkan siluet asal bercirikan getah, kasut Cali Remix masih memiliki keunikan tersendiri apabila Puma bijak menggabungkan paten dan material pilihan seperti kulit lembut (suede) dan kulit asli.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Puma yang diasaskan pada tahun 1924 di Jerman itu turut memperkenalkan koleksi Weave XT.

Kempen yang mengetengahkan supermodel terkenal, Adriana Lima sebagai duta itu menawarkan kasut sukan yang memberikan keselesaan kepada wanita ketika menjalani latihan di gimnasium.

Ia berikutan tapak tengahnya (midsole) yang bertindak sebagai kusyen direka khas untuk memberikan sokongan dan fleksibiliti setiap kali melakukan pergerakan pantas.

Artikel Berkaitan:

Selain Cali Remix dan Weave XT, golongan wanita yang menerapkan gaya hidup aktif jangan lepaskan peluang memiliki koleksi Puma LQD Cell Shatter, LQD Tension, LQD Cell Shatter Luster dan LQD Cell Optic.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!