Domino's Pizza cetus teknologi lebih canggih
Sistem GPS jadikan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan menjadi lebih pantas, efisien
DOMINO'S Pizza merupakan satu jenama yang cukup popular. Kemahsyuran itu telah mendorong jenama berkenaan sentiasa menambah baik mutu perkhidmatan termasuk dari aspek penghantaran dari semasa ke semasa.
Berdasarkan rekod, khidmat penghantaran Domino's Pizza merupakan yang terbaik di negara ini dengan tempoh terpantas iaitu 24 minit dengan menggunakan sistem pengesan Great Pizza Services (GPS).
Tambah menarik, gandingan sistem GPS dan Point of Sales (POS) itu menjadikan gerak kerja dari awal pembikinan doh piza yang segar sehingga ke peringkat penghantaran piza seluruh negara menjadi lebih cekap dan efisien.
Timbalan Presiden Operasi Domino's Pizza Malaysia dan Singapura, Shamsul Amree Ab Rahman ketika ditemui berkata, inovasi sistem GPS itu sebenarnya sudah lama dilaksanakan.
"Bagaimanapun, ia melalui proses naik taraf (upgrade) dengan teknologi baharu yang lebih canggih sejak enam bulan lalu. Sistem GPS diperbaharui bagi memastikan setiap data penghantaran dan radius lokasi penghantaran dapat dikumpul untuk ditambah baik dari masa ke semasa demi memastikan kepuasan pelanggan.
"Sebagai contoh, jaminan 30 minit penghantaran akan (ditambah baik) memandangkan rekod terpantas dicapai 24 minit. Dalam pada itu, kami turut menitikberatkan faktor keselamatan rider Domino's Pizza itu sendiri," katanya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Shamsul Amree berkata, pelbagai inovasi dicetuskan Domino's Pizza sejak lebih 20 tahun lagi bermula daripada susunan meja persiapan, resepi sos tersendiri, perkakas, ketuhar hingga sistem penghantaran yang telah menjadi ikutan pesaing lain.
"Doh yang segar diuli dengan teknik tersendiri bagi memastikan crust yang lembut selain susunan bahan toping di meja persiapan disusun dengan formula tertentu bagi memastikan gerak kerja lebih pantas dalam tempoh satu sehingga tiga minit.
"Perkakas yang dicipta seperti spoodle untuk meratakan sos juga banyak membantu selain reka bentuk ketuhar yang menggunakan kepakaran teknologi tersendiri memastikan piza yang dimasak pada tempoh yang lebih pantas.
"Bagaimanapun kami percaya, cetusan revolusi Domino's Pizza dengan kepakaran tersendiri menjadikan produk kami terbaik dan menjadi pilihan nombor satu rakyat Malaysia," ujar beliau.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pemasaran Domino's Pizza Malaysia dan Singapura, Linda Hassan menjelaskan, semua produk yang dihasilkan menggunakan teknologi yang diciptakan Domino's Pizza sendiri.
"Mungkin selepas ini fitur baharu tertumpu kepada tambah baik sistem GPS yang boleh memaparkan live location penghantaran yang pada masa sama boleh disemak pelanggan. Buat masa ini, semakan penghantaran masih di peringkat internal lagi.
"Revolusi teknologi Domino's Pizza itu juga dapat menampung tempahan yang diterima lebih 500,000 secara purata dalam tempoh sebulan melibatkan lebih kurang 5,000 kakitangan di lebih 18,000 outlet seluruh negara," katanya.
Secara globalnya, Domino's Pizza menjadi jenama nombor satu dunia dari segi perkhidmatan penghantaran dan inovasi teknologi yang dikembangkan seiring kemajuan masa depan sejak diwujudkan pada tahun 1997.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!