Bermalam di muzium jadi acara tahunan
KUANTAN - Muzium Sungai Lembing di sini meneruskan tradisinya sejak 2016 dengan mengambil bahagian untuk sama-sama menjayakan Program Bermalam di Muzium yang dianjurkan secara serentak di 36 muzium seluruh negara sempena bulan kemerdekaan pada 30 dan 31 Ogos lalu.
Bagi penganjuran program tahun ini, Muzium Sungai Lembing menerima penyertaan 70 pelajar daripada enam sekolah di negeri ini sekaligus menjadi sebahagian daripada 2,704 peserta keseluruhan program itu dari seluruh negara.
Penolong Kurator Kanan merangkap Ketua Muzium Sungai Lembing, Rebiah Mohd Yusof berkata, program itu antara yang mendapat sambutan di negeri ini malah sentiasa dinantikan pihak sekolah untuk menghantar pelajar mereka menyertainya.
Menurutnya, tahun ini bilangan penyertaan melebihi sasaran ditetapkan di mana pada awalnya hanya dibuka kepada 50 peserta namun disebabkan permintaan amat tinggi, pihak muzium terpaksa membuka penyertaan kepada 70 peserta.
“Program ini antara acara yang sudah menjadi tradisi dan acara tahunan yang dimasukkan dalam jadual tahunan kita di sini dan ia salah satu platform mempromosikan Muzium Sungai Lembing.
“Pada program kali ini kita menggunakan modul pilihanraya iaitu peserta didedahkan dengan proses demokrasi, dengan memberi pendedahan terhadap tanggungjawab sebagai pengundi dan pemimpin," katanya ketika ditemui pada program itu kelmarin.
Rebiah berkata, selain itu dua acara utama yang juga kemuncak program kali ini adalah sesi Malaysia #QuranHour dan aktiviti melipat serta memakai tengkolok yang direkodkan dalam Malaysia Book of Records.
Katanya, rekod baharu yang tercipta itu di bawah kategori peserta teramai memakai tengkolok untuk program bermalam di muzium yang turut disertai semua peserta yang terlibat dalam program itu di seluruh negara.
“Sebagai salah satu hotspot Malaysia #QuranHour di negeri ini, pihak muzium turut mengambil bahagian mengadakan sesi tausiah surah Al-Kahfi bersama peserta yang dikendalikan pentausiah jemputan, pengerusi Lembaga pengelola Sekolah Rendah Islam Al- Amin Paya Besar, Ahmad Puaad Abd Rahman.
“Secara keseluruhannya, program ini dilihat berjaya mencapai matlamatnya dan akan diteruskan untuk tahun-tahun akan datang dengan pelbagai pengisian lebih menarik dan memberi impak.
“Penganjuran program bermalam di muzium ini ini sebenarnya platform terbaik dalam menyebar luas fungsi serta peranannya sebagai institusi pendidikan tidak formal dalam kalangan masyarakat," katanya.
Rebiah berkata, usaha itu juga sebagai salah satu bentuk kerjasama antara muzium di negara ini ke arah memperkukuh dan memartabatkan industri muzium negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!