Hijrah bentuk negara maju dengan perpaduan utuh: Agong
PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk berhijrah membentuk sebuah negara yang maju dengan asas perpaduan dan keharmonian yang utuh bersempena dengan sambutan Maal Hijrah 1441H.
Seri Paduka bertitah, penghijrahan negara ke tahap yang lebih tinggi akan boleh dicapai melalui pembentukan semangat toleransi dan kerjasama rakyat berbilang kaum yang menjadi asas kukuh kepada perpaduan negara.
"Dalam kita berusaha melakukan hijrah kepada hidup bermasyarakat yang lebih toleransi serta disemai dengan bunga kasih sayang, janganlah pula kita mengabaikan tuntutan agama dan hukum Allah," titah Seri Paduka bersempena perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di sini.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Turut hadir ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Al-Sultan Abdullah bertitah gagasan idea ‘Rahmatan-Lil-Alamin’ yang diketengahkan juga boleh membawa konsep hidup bermasyarakat kepada tahap yang lebih tinggi, di mana konsep tersebut telah dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bersifat sejagat dan rahmat untuk seluruh alam.
Titah Seri Paduka, semenjak negara mencapai kemerdekaan 62 tahun yang lalu, Malaysia telah melalui pelbagai peristiwa penghijrahan yang amat menakjubkan.
"Negara telah melalui pembangunan fizikal yang pesat, peningkatan ekonomi yang mampan dan juga kematangan landskap politik," titah Al-Sultan Abdullah, di mana pada hemat Seri Paduka, masih terdapat banyak ruang lagi untuk melakukan hijrah bersama-sama.
Titah Seri Paduka, pengukuhan etika dan nilai-nilai murni dalam pentadbiran serta pengurusan adalah satu aspek yang wajar dilaksanakan.
Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa pembentukan sebuah negara maju tanpa budaya integriti yang tinggi adalah merupakan penghijrahan yang tempang.
Menyokong usaha meletakkan tadbir urus negara berasaskan kepada disiplin ilmu Maqasid Syariah, Seri Paduka bertitah melalui pendekatan itu, penghijrahan tertinggi yang boleh dicapai adalah dengan memartabatkan kebaikan dan menolak keburukan dalam setiap jiwa rakyat di negara ini.
"Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa dan masyarakat yang berjaya, sentiasa melakukan perubahan dan penghijrahan," titah Sultan Abdullah.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!