Dua pengunjung Lata Hammer maut dihempap pokok tumbang

Mangsa yang cedera dibawa turun untuk dihantar ke hospital.
Mangsa yang cedera dibawa turun untuk dihantar ke hospital.
A
A
A

BENTONG - Dua pengunjung maut manakala dua lagi cedera selepas dihempap pokok tumbang ketika berkhemah di Air Terjun Lata Hammer, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, dua mangsa terlibat, Winnie Tan Gaik Kin, 40-an beralamat di Kuala Lumpur dan Chin Kean Hwa, 50-an dari Puchong, Selangor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata, dua lagi pengunjung,Tan Wai Hong, 40-an beralamat di Kuala Lumpur dan Leong Yau Lai, 30-an dari Teluk Intan, Perak dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal di lokasi mendapati ketika kejadian mangsa bersama 25 yang lain sedang berkhemah di lokasi tersebut.

“Kira-kira jam 10 malam, sebatang pokok berukuran 30 meter tinggi dengan ukur lilit dua meter tumbang dan menghempap kumpulan pengunjung terbabit. Ketika kejadian keadaan cuaca dilaporkan baik.

“Akibat kejadian itu dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia manakala dua lagi dilaporkan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan," Katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota bomba memberi bantuan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum dibawa turun untuk dihantar ke hospital.
Anggota bomba memberi bantuan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum dibawa turun untuk dihantar ke hospital.

Beliau berkata, susulan maklumat diterima pihaknya bersama anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong ke lokasi dan tiba kira-kira jam 12.27 pagi untuk operasi bantuan menyelamat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan memaklumkan, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba membuat perawatan awal kepada mangsa yang cedera.

Menurutnya, kedua-dua mangsa cedera dibawa naik ke kawasan lapang atas tebing pada ketinggian 60 meter menggunakan tali.

"Anggota seterusnya membawa mereka keluar ke jentera EMRS dan ambulan yang menunggu di lokasi kira-kira lapan kilometer dari kawasan air terjun untuk dibawa ke Hospital Bentong.

“Seterusnya anggota kita turut menggerakkan operasi mengeluarkan mayat mangsa yang maut sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!