15 bayi Maal Hijrah dilahirkan di Hospital Melaka

Program Tahnik Bayi Hijrah anjuran Majlis Agama Islam Melaka di Hospital Melaka hari ini.
Program Tahnik Bayi Hijrah anjuran Majlis Agama Islam Melaka di Hospital Melaka hari ini.
A
A
A

MELAKA - Hospital Melaka menyambut 15 kelahiran bayi sempena sambutan Maal Hijrah hari ini.

Kesemua bayi iaitu lima lelaki dan 10 perempuan berkenaan diraikan sempena Program Tahnik Bayi Hijrah 1441H bersamaan 2019 Masihi anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dengan kerjasama Hospital Melaka.

Daripada jumlah tersebut, enam daripadanya diangkat sebagai bayi paling bertuah apabila turut dilahirkan di hari sama ketika negara mengadakan sambutan Hari Kebangsaan semalam.

Isteri kepada Ketua Menteri Melaka, Dalilah Awaludin berkata, kesemua bayi berkenaan dilahirkan sejak jam 7.30 malam semalam sehingga jam 7 pagi ini manakala bayi yang dilahirkan sempena dua peristiwa besar iaitu hari kemerdekaan dan Maal Hijrah bermula dari jam 7.30 malam hingga 11.59 malam.

Menurutnya, kesemua bayi berkenaan ditahnik beberapa tokoh agama negeri termasuk Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil; Imam Besar Masjid Al-Azim, Datuk Mohamad Hashim dan pendakwah bebas, Datuk Abdul Rahim Abdul Khalik.

"Bayi-bayi berkenaan ditahnikkan oleh kesemua tokoh agama tersebut dengan mengunyah kurma kemudian disuapkan sedikit ke mulut bayi sambil dibacakan doa sebagai satu amalan sunnah Rasulullah SAW," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas majlis tersebut di Hospital Melaka hari ini.

Turut hadir, Pengarah MAIM, Md Azhan Samat dan Pengarah Hospital Melaka, Dr Hatijah Mohd Tan.

Sementara itu, ibu salah seorang bayi berkenaan, Ramnah Ibrahim, 32, dari Tanjung Kling bersyukur kerana melahirkan bayi lelaki seberat 3 kilogram iaitu bayi pertama sempena Maal Hijrah di hospital itu pada jam 7.34 malam tadi.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah anak kelapan saya dan sepatutnya doktor menjangkakan kelahirannya pada 6 September depan, namun tidak disangka dia lahir malam semalam sempena Maal Hijrah," katanya yang juga seorang suri rumah.

Seorang lagi ibu, Nur Af'idah Yazed, 31, berkata, dia tidak menyangka melahirkan bayi perempuan yang merupakan anak keempatnya pada Maal Hijrah kerana dia sepatutnya dijangka bersalin lebih awal pada 24 Ogos lalu.

“Cadangan asal mahu melahirkan anak di kampung iaitu Kulai, Johor namun tidak sangka dia dilahirkan pada 11.54 malam tadi seberat 3.5 kilogram sempena umat Islam menyambut tahun baru,” katanya yang merupakan kakitangan Hospital Melaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!