Sultan Selangor titah umat Islam waspada lontar pandangan

Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto Bernama
Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya umat Islam sentiasa berwaspada dalam melontarkan sebarang pandangan berkaitan agama lain di samping mengamalkan sifat wasatiyyah dalam interaksi harian.

Baginda bertitah, Islam adalah merupakan agama yang mementingkan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.

"Apa yang penting, umat Islam di Malaysia harus mengetepikan semangat asabiyyah dan perasaan hasad dengki demi memastikan ukhuwah serta muafakat terus teguh," titah baginda bersempena sambutan Maal Hijrah 1441 hari ini.

Dalam pada itu, baginda berharap umat Islam di negara ini akan memasang azam tahun baharu yang lebih dinamik dan relevan dalam menegakkan syiar Islam serta mengukuhkan silaturahim perpaduan.

Titah baginda, setiap pihak perlu menghayati sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan kisah penyatuan persaudaraan golongan Muhajirin serta Ansar yang berjaya membentuk kekuatan sehingga tertubuhnya negara Islam di tahap lebih tinggi.

"Ia adalah contoh teladan terbaik yang wajar dijadikan iktibar dalam usaha mengukuhkan perpaduan dan kesatuan seluruh umat Islam di Malaysia agar dapat hidup lebih harmoni di dalam masyarakat majmuk," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!